2 SAMUEL 23:13-17
2 SAMUEL 23:13-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila menjelang musim menuai, tiga orang daripada “Kumpulan Tiga Puluh” turun ke Gua Adulam. Pada masa itu Raja Daud berada di dalam gua itu. Sepasukan orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim. Pada masa itu Raja Daud berada di suatu bukit yang mempunyai kubu, dan sepasukan orang Filistin sudah menduduki Betlehem. Raja Daud merindukan kampung halamannya, lalu baginda berkata, “Alangkah baiknya jika ada orang yang memberi beta minum air dari perigi dekat pintu gerbang di Betlehem!” Mendengar kata-kata itu, tiga orang askar yang terkenal itu menembusi pertahanan orang Filistin di Betlehem. Mereka menimba air dari perigi itu lalu membawanya kepada Raja Daud. Tetapi Raja Daud tidak mahu meminum air itu, malahan baginda mencurahkan air itu sebagai persembahan kepada TUHAN. Raja Daud bertitah, “Ya TUHAN, aku tidak sanggup minum air ini. Jika aku meminumnya, seolah-olah aku minum darah tiga orang yang mempertaruhkan nyawa mereka!” Raja Daud sama sekali tidak mahu minum air itu. Demikianlah keberanian tiga orang askar yang terkenal itu.
2 SAMUEL 23:13-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada suatu waktu, datanglah tiga orang daripada tiga puluh orang ketua mendapatkan Daud di gua Adulam pada musim menuai, sementara pasukan orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim. Pada waktu itu Daud sedang berada di kubu pertahanan, sedangkan pasukan pendudukan orang Filistin berada di Betlehem. Lalu timbullah keinginan dalam diri Daud, katanya, “Kalaulah ada orang yang memberi aku minum air dari perigi Betlehem yang berada berdekatan dengan pintu gerbang itu!” Maka ketiga-tiga kesateria itu menerobos perkhemahan orang Filistin lalu menimba air daripada perigi Betlehem yang berada berdekatan dengan pintu gerbang itu. Mereka mengangkatnya dan membawanya kepada Daud. Namun demikian, dia tidak mahu meminumnya. Dia malah mencurahkannya sebagai persembahan kepada TUHAN. Katanya, “Janganlah aku sekali-kali berbuat demikian, ya TUHAN! Bukankah ini darah mereka yang pergi dengan mempertaruhkan nyawa mereka?” Oleh itu, dia tidak mahu meminumnya. Itulah yang dilakukan oleh ketiga-tiga orang kesateria itu.