2 SAMUEL 22:1-4,48-51
2 SAMUEL 22:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas TUHAN menyelamatkan Daud daripada Raja Saul dan musuh-musuhnya yang lain, Daud menyanyikan lagu ini bagi TUHAN: TUHAN ialah pelindungku; Dia bagaikan kubu yang kuat bagiku. Allahku tempat perlindunganku, aku selamat bersama dengan Dia. Dia melindungi aku seperti perisai; Dia membela dan menjaga aku supaya aku selamat. Dialah penyelamatku; Dia melindungi aku dan menyelamatkan aku daripada keganasan. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, dan Dia menyelamatkan aku daripada musuhku.
2 SAMUEL 22:48-51 Alkitab Berita Baik (BM)
Dia memberi aku kemenangan atas musuhku; Dia menaklukkan bangsa-bangsa di hadapanku, dan menyelamatkan aku daripada lawanku. Ya TUHAN, Engkau memberi aku kemenangan atas musuhku, dan melindungi aku daripada orang ganas. Oleh itu aku memuji Engkau di kalangan bangsa-bangsa; aku menyanyikan lagu pujian untuk-Mu. Allah memberikan kemenangan besar kepada raja pilihan-Nya; Dia tetap mengasihi orang yang dilantik-Nya, iaitu Daud dan keturunannya, untuk selama-lamanya.
2 SAMUEL 22:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Daud mengucapkan perkataan nyanyian ini kepada TUHAN ketika TUHAN menyelamatkannya daripada cengkaman semua musuhnya dan daripada tangan Saul. Dia berkata, “TUHAN ialah batu pejalku, kubuku, dan penyelamatku. Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku, dan penyelamatku. Engkau menyelamatkan aku daripada keganasan. Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku.
2 Samuel 22:48-51 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Allah menuntut balas bagiku, dan menaklukkan suku-suku bangsa ke bawah kuasaku. Dialah yang membebaskan aku daripada musuh-musuhku. Engkau meninggikan aku demi mengatasi orang yang bangkit melawan aku, Engkau melepaskan aku daripada orang yang melakukan kekerasan. Oleh sebab itu aku akan mengucap syukur kepada-Mu, ya TUHAN, antara bangsa-bangsa, dan aku akan melantunkan puji-pujian atas nama-Mu. TUHAN memberikan penyelamatan besar kepada orang yang dijadikan-Nya raja; Dia melimpahkan kasih setia kepada orang yang diurapi-Nya, kepada Daud, sampai anak cucu selama-lamanya.”