Logo Apl Bible
Ikon Carian

2 SAMUEL 18:12-18 - Bandingkan Semua Versi

2 SAMUEL 18:12-18 BM (Alkitab Berita Baik)

Tetapi orang itu menjawab, “Walaupun tuan memberi saya seribu keping wang perak, saya tidak mahu menyakiti putera raja. Kami semua mendengar apa yang diperintahkan raja kepada tuan dan kepada Abisai, serta Itai, supaya tidak berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu demi raja. Tetapi sekiranya saya melanggar perintah raja dan membunuh Absalom tadi, tentu hal itu diketahui oleh raja, kerana raja mendengar tentang segala sesuatu, dan tuan pun pasti tidak akan membela saya.” “Sudahlah! Habis masa hanya bersoal jawab dengan awak,” kata Yoab. Kemudian Yoab mengambil tiga batang tombak lalu menikam dada Absalom. Pada masa itu Absalom masih hidup dan tergantung pada pokok oak. Kemudian sepuluh orang anak buah Yoab mengeroyok Absalom dan membunuh dia. Yoab menyuruh orang membunyikan trompet supaya anak buahnya berhenti mengejar pasukan Israel. Kemudian mereka mengambil mayat Absalom dan melemparkannya ke dalam perigi yang dalam di hutan. Mereka menimbuni perigi itu dengan batu sampai tinggi. Semua orang Israel lari, dan pulang ke rumah masing-masing. Semasa hidup Absalom, dia telah membangun sebuah tugu di Lembah Raja bagi dirinya, kerana dia tidak mempunyai anak lelaki untuk meneruskan keturunannya. Dia menamakan tugu itu menurut namanya sendiri. Sampai hari ini tugu itu dikenal sebagai Tugu Absalom.

2 SAMUEL 18:12-18 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Tetapi kata orang itu kepada Yoab, “Sekalipun hamba mendapat seribu syikal perak di tangan hamba, hamba tidak mahu mencederakan anak raja, kerana kami sekalian mendengar raja yang memberikan amanat kepada tuan, kepada Abisai, dan kepada Itai demikian, ‘Lindungilah Absalom, anak muda itu, demi aku.’ Sebaliknya, jika hamba berbuat khianat terhadap nyawanya, sementara tidak ada satu hal pun yang tidak akan diketahui oleh raja, maka tuan sendiri tidak akan mendekati hamba.” Kata Yoab, “Aku tidak mahu membuang waktu begini denganmu!” Lalu dibawanya tiga batang lembing di tangannya dan ditikamkannya hingga tembus ke jantung Absalom sewaktu dia masih hidup dan tergantung di pokok oak itu. Kemudian sepuluh pelayan pembawa senjata Yoab mengelilingi Absalom, lalu mengajar dan menewaskan dia. Setelah itu, Yoab meniup sangkakala. Seluruh pasukan pun berhenti mengejar orang Israel, kerana Yoab menahan mereka. Kemudian mereka mengangkut jenazah Absalom dan mencampakkannya ke dalam sebuah lubang besar di hutan itu. Lalu di atasnya didirikan mereka suatu timbunan batu yang amat besar. Sementara itu semua orang Israel melarikan diri, masing-masing ke khemahnya. Ketika masih hidup, Absalom pernah mengangkut dan mendirikan sebuah tugu baginya yang terletak di Lembah Raja, kerana katanya, “Aku tidak mempunyai anak lelaki untuk menegakkan namaku.” Maka dinamainya tugu itu berdasarkan namanya sendiri. Sampai hari ini tugu itu disebut Tugu Peringatan Absalom.