2 SAMUEL 17:1-29 - Compare All Versions

2 SAMUEL 17:1-29 BM (Alkitab Berita Baik)

Tidak lama kemudian, Ahitofel berkata kepada Absalom, “Benarkanlah hamba memilih dua belas ribu orang. Pada malam ini hamba akan berangkat untuk mengejar Raja Daud. Hamba akan menyerang baginda waktu baginda masih letih dan lemah semangat. Baginda akan ketakutan sehingga semua anak buahnya melarikan diri. Hanya Raja Daud yang akan hamba bunuh. Semua anak buahnya akan hamba kembalikan kepada tuanku seperti pengantin perempuan kembali kepada suaminya. Bukankah tuanku hanya menginginkan nyawa satu orang? Orang lain tidak akan diapa-apakan.” Nasihat itu dipandang baik oleh Absalom dan oleh semua pemimpin orang Israel. Meskipun begitu Absalom berkata, “Panggillah Husai. Mari kita dengar pendapatnya.” Ketika Husai datang menghadap, Absalom memberitahukan rancangan Ahitofel, lalu berkata, “Begitulah nasihat Ahitofel. Adakah kita hendak menurut nasihat itu? Jika tidak, berilah cadangan lain.” Husai menjawab, “Nasihat Ahitofel kali ini tidak baik. Tuanku tentu tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya itu pejuang yang gagah berani. Mereka seganas beruang betina yang kehilangan anaknya. Lagipun Raja Daud seorang askar berpengalaman, yang tidak pernah bermalam bersama-sama anak buahnya. Mungkin pada saat ini pun baginda sedang bersembunyi di dalam sebuah gua atau di tempat lain. Sebaik saja anak buah tuanku diserang oleh Raja Daud, dan ada yang mati, maka sesiapa saja yang mendengar hal itu akan berkata bahawa anak buah tuanku sudah dikalahkan. Akibatnya, orang yang paling berani dan gagah perkasa seperti singa pun tentu akan menjadi takut. Semua orang di Israel tahu bahawa ayahanda tuanku itu seorang pahlawan, dan bahawa anak buahnya itu pejuang-pejuang yang gagah berani. Oleh sebab itu, nasihat hamba begini: Kumpulkanlah semua orang Israel dari seluruh negeri, sehingga jumlahnya sebanyak pasir di pantai. Kemudian tuanku sendiri mengetuai mereka maju bertempur. Kita akan mencari Raja Daud di mana saja baginda berada, lalu kita menyerang baginda sebelum baginda sedar akan apa yang terjadi. Tiada seorang pun yang akan terlepas, baik baginda mahupun anak buahnya. Jika baginda lari ke dalam sebuah kota, segenap rakyat kita akan mengambil tali-temali dan menyeret kota itu lalu menjatuhkannya ke dalam lembah yang terdekat. Seketul batu pun tidak akan ada yang tertinggal di atas bukit itu.” Setelah Absalom dan semua orang Israel mendengar cadangan itu, mereka berkata, “Nasihat Husai lebih baik daripada nasihat Ahitofel.” TUHAN sudah menentukan untuk menggagalkan nasihat Ahitofel yang baik itu, supaya Absalom ditimpa malapetaka. Selepas itu Husai memberi laporan kepada Imam Zadok dan Imam Abyatar tentang nasihat Ahitofel dan nasihatnya sendiri kepada Absalom dan para pemimpin Israel. Husai berkata, “Cepat! Beritahulah Raja Daud supaya tidak bermalam di tempat penyeberangan sungai di padang gurun. Baginda harus segera menyeberangi Sungai Yordan. Jika tidak, baginda dan semua anak buahnya akan ditangkap dan dibunuh.” Sementara itu Yonatan anak Abyatar dan Ahimaas anak Zadok sedang menunggu dekat mata air En-Rogel, di pinggir kota Yerusalem. Mereka tidak berani masuk ke kota kerana takut dilihat orang. Seperti biasa, mereka mendapat khabar daripada seorang hamba perempuan yang menyampaikan berita yang harus dilaporkan kepada Raja Daud. Tetapi kali itu seorang anak lelaki kebetulan melihat mereka, lalu memberitahukan hal itu kepada Absalom. Oleh itu Yonatan dan Ahimaas cepat-cepat pergi dan bersembunyi di rumah seorang penduduk kampung Bahurim. Di halaman rumahnya itu ada sebuah perigi, lalu mereka masuk ke dalam perigi itu. Isteri pemilik rumah itu membentangkan penutup di atas lubang perigi itu lalu menaburkan gandum di atasnya, sehingga perigi itu tidak kelihatan. Orang suruhan Absalom datang ke rumah itu dan bertanya kepada wanita tadi, “Di manakah Ahimaas dan Yonatan?” “Mereka baru saja menyeberangi sungai,” jawabnya. Orang suruhan itu mencari kedua-dua orang pemuda itu, tetapi tidak menjumpai mereka. Kemudian orang suruhan itu pulang ke Yerusalem. Ahimaas dan Yonatan keluar dari perigi itu, lalu segera pergi menemui Raja Daud. Mereka melaporkan segala hal yang berlaku. Mereka berkata, “Ahitofel memberi nasihat untuk menyerang tuanku. Oleh itu berangkatlah sekarang juga dan seberangilah sungai ini.” Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan, lalu sampai di seberang pada waktu fajar. Apabila Ahitofel mengetahui bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia memasang pelana keldainya lalu pulang ke kotanya sendiri. Setelah menyelesaikan segala urusannya, dia menggantung diri. Kemudian dia dikuburkan di dalam kuburan keluarganya. Raja Daud sudah sampai di kota Mahanaim ketika Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan diiringi oleh orang Israel. ( Absalom sudah melantik Amasa menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Amasa anak Yitra, orang Ismael; ibunya bernama Abigail anak Nahas, saudara perempuan Zeruya, ibu Yoab.) Absalom dan anak buahnya berkhemah di daerah Gilead. Ketika Raja Daud tiba di Mahanaim, baginda disambut oleh Sobi anak Nahas dari kota Raba di Amon, dan oleh Makhir anak Amiel dari Lodebar, dan oleh Barzilai dari Rogelim di Gilead. Mereka membawa mangkuk, kuali tembikar, dan kain tidur untuk Raja Daud dan anak buahnya. Mereka juga membawa gandum, barli, tepung, bertih, kacang merah, kacang merah besar, madu, keju, krim, dan beberapa ekor domba. Mereka tahu bahawa Raja Daud dan anak buahnya lapar, haus, dan lelah kerana perjalanan di padang gurun.

2 SAMUEL 17:1-29 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Ahitofel berkata kepada Absalom, “Izinkanlah aku memilih dua belas ribu orang, maka aku akan bersiap dan mengejar Daud malam ini juga. Aku akan mendatanginya ketika dia penat dan tidak berdaya. Aku akan mengejutkannya, sehingga seluruh rakyat yang ada bersamanya akan melarikan diri. Hanya raja sahaja yang akan kubunuh, manakala seluruh rakyat itu akan kubawa pulang kepada tuanku seperti pengantin perempuan dibawa kepada suaminya. Tuanku hanya mencari seorang sahaja, bukan? Oleh itu, seluruh rakyat dapat pulang dengan selamat.” Saranan itu dipandang baik oleh Absalom dan oleh semua tua-tua Israel. Namun demikian, setelah itu Absalom berkata, “Panggillah pula Husai, orang Arki itu, biar kita dengar juga apa yang akan dikatakannya.” Ketika Husai masuk menghadap Absalom, berkatalah Absalom kepadanya, “Demikianlah yang dicadangkan Ahitofel. Patutkah kita ikut cadangannya itu? Jika tidak, cakaplah sahaja!” Lalu kata Husai kepada Absalom, “Kali ini nasihat yang diberikan Ahitofel itu tidak baik.” Kata Husai pula, “Tuanku tahu bahawa ayah Tuanku dan anak buahnya itu memang kesateria, dan mereka sedang panas hati seperti seekor beruang yang kehilangan anaknya di padang. Apatah lagi, ayah tuanku sememangnya seorang pejuang. Tentunya dia tidak akan bermalam bersama-sama rakyat, melainkan sedang bersembunyi di suatu lubang atau di suatu tempat yang lain. Jadi, jika pada serangan awal ada beberapa orang yang tewas, maka sesiapa pun yang mendengarnya akan berkata, ‘Pasukan yang mengikuti Absalom sudah kalah.’ Oleh itu, orang yang gagah perkasa pun, yang hati seperti hati singa, akan menjadi takut, kerana semua orang Israel tahu bahawa ayah tuanku memang seorang kesateria dan para anak buahnya juga kalangan yang gagah perkasa. Oleh sebab itu aku menasihatkan supaya semua orang Israel yang ramainya bagaikan pasir di tepi laut, tersebar dari Dan ke Bersyeba, dipanggil untuk bergabung dengan tuanku. Kemudian tuanku sendiri harus pergi bertempur. Kita akan mendatangi dia di tempat mana-mana pun dia berada, lalu kita akan menyergapnya sehingga dia menjadi seperti embun yang jatuh ke bumi. Tidak ada seorang pun yang tertinggal akan hidup, baik dia mahupun semua orang yang menyertainya. Jika dia masuk ke dalam sebuah kota, semua orang Israel akan memasang tali pada kota itu lalu kita akan menyeretnya ke sungai, sehingga sebutir batu kecil pun tidak terdapat lagi di sana.” Kemudian kata Absalom dan semua orang Israel, “Nasihat Husai, orang Arki, lebih baik daripada nasihat Ahitofel.” TUHAN memang berketetapan membatalkan nasihat Ahitofel yang baik itu, supaya TUHAN dapat mendatangkan malapetaka kepada Absalom. Kemudian Husai berkata kepada para imam iaitu Zadok dan Abyatar, “Begitulah yang dinasihatkan Ahitofel kepada Absalom dan para tua-tua Israel, tetapi begini begitulah yang kunasihatkan. Maka sekarang, suruhlah orang dengan segera memberitahu Daud, ‘Jangan bermalam di tempat-tempat penyeberangan sungai di gurun malam ini, tetapi menyeberanglah segera, supaya jangan raja dan seluruh rakyat yang ada bersamanya dimusnahkan.’ ” Pada waktu itu Yonatan dan Ahimaas sedang menunggu di En-Rogel. Ada seorang pelayan perempuan yang biasa pergi menyampaikan khabar kepada mereka, dan kemudian mereka akan pergi untuk memberitahu khabar itu kepada Raja Daud, kerana mereka tidak boleh terlihat masuk ke dalam kota. Namun demikian, kali itu ada seorang pemuda yang melihat mereka lalu melaporkannya kepada Absalom. Oleh itu, Yonatan dan Ahimaas segera pergi, lalu sampai di rumah seseorang di Bahurim yang mempunyai perigi di halamannya. Mereka pun turun ke dalam perigi itu. Kemudian isteri orang itu mengambil kain penutup. Dibentangkannya kain itu di mulut perigi, lalu ditebarkannya butir-butir gandum di atasnya. Tidak ada orang yang mengetahui hal itu. Ketika anak buah Absalom datang kepada perempuan di rumah itu, bertanyalah mereka, “Di manakah Ahimaas dan Yonatan?” Jawab perempuan itu kepada orang itu, “Mereka sudah menyeberangi sungai.” Kemudian mereka mencari-cari, tetapi tidak dapat menemukan kedua-dua orang itu. Maka kembalilah mereka ke Yerusalem. Setelah orang itu pergi, kedua-duanya pun keluar dari dalam perigi, lalu pergi menyampaikan khabar itu kepada Raja Daud. Kata mereka kepada Daud, “Bersiaplah, tuanku, dan seberangilah sungai ini dengan segera, kerana begini begitulah yang dinasihatkan Ahitofel mengenai tuanku.” Kemudian bersiaplah Daud dan segenap rakyat yang menyertainya, lalu mereka menyeberangi Sungai Yordan. Pada waktu fajar menyingsing tidak ada seorang pun yang tertinggal, yang belum menyeberangi Sungai Yordan. Sementara itu, setelah Ahitofel melihat bahawa nasihatnya tidak dituruti, dia pun memasang pelana keldainya, bersiap-siap, lalu pulang ke rumahnya, ke kotanya. Dia membereskan urusan rumah tangganya, kemudian menggantung diri dan mati. Lalu dia dikebumikan di dalam kubur ayahnya. Daud sampai ke Mahanaim. Sementara itu Absalom menyeberangi Sungai Yordan dengan semua orang Israel yang menyertainya. Absalom telah mengangkat Amasa untuk mengepalai tentera sebagai ganti Yoab. Amasa ialah anak Yitra, seorang Ismael yang memperisteri Abigail anak Nahas, saudara perempuan Zeruya, ibu Yoab. Lalu orang Israel dan Absalom berkhemah di Tanah Gilead. Ketika Daud tiba di Mahanaim, datanglah Sobi anak Nahas dari Raba, kota bani Amon, bersama Makhir anak Amiel dari Lodebar, dan Barzilai, orang Gilead dari Rogelim. Mereka membawa tempat tidur, mangkuk, periuk belanga, juga gandum, barli, tepung, emping, kacang hijau, kacang merah, madu, dadih, domba dan keju daripada lembu untuk dimakan oleh Daud serta rakyat yang menyertainya, kerana kata mereka, “Rakyat tentunya berasa lapar, lelah dan haus di gurun.”