2 SAMUEL 12:19-25 - Compare All Versions
2 SAMUEL 12:19-25 BM (Alkitab Berita Baik)
Apabila Raja Daud nampak mereka berbisik-bisik, baginda sedar bahawa anak itu sudah mangkat. Oleh itu baginda bertanya kepada mereka, “Adakah anak itu sudah mangkat?” “Ya,” jawab mereka. Kemudian Raja Daud bangun dari lantai, mandi, menyikat rambut, dan menukar pakaian. Selepas itu baginda pergi beribadat di Rumah TUHAN. Kemudian baginda kembali ke istana, minta dihidangkan makanan, lalu makan. Para pegawai baginda berkata kepadanya, “Hamba sekalian tidak faham, tuanku. Ketika putera tuanku masih hidup, tuanku berpuasa dan menangisi dia. Tetapi sebaik saja dia mangkat, tuanku bangun lalu makan!” “Ya,” jawab Raja Daud, “memang beta berpuasa dan menangis ketika anak itu masih hidup kerana beta berfikir, mungkin TUHAN akan mengasihani beta dan membolehkan anak itu hidup. Tetapi sekarang, setelah dia mangkat, apakah gunanya beta terus berpuasa? Dapatkah beta menghidupkan dia semula? Nanti beta akan pergi juga ke tempat dia berada, tetapi sekarang dia tidak akan kembali kepada beta.” Raja Daud menghibur hati Batsyeba isterinya, lalu berseketiduran dengan dia. Kemudian Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Salomo oleh Raja Daud. TUHAN mengasihi anak itu dan menyuruh Nabi Natan menamakan anak itu Yedija, kerana TUHAN mengasihi dia.
2 SAMUEL 12:19-25 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Ketika Daud melihat para pegawainya berbisik-bisik antara satu sama lain, tahulah dia bahawa anak itu sudah meninggal. Lalu bertanyalah Daud kepada para pegawainya, “Apakah anak itu sudah meninggal?” Jawab mereka, “Ya, sudah meninggal.” Kemudian bangkitlah Daud dari lantai, lalu mandi. Dia memakai wangi-wangian dan menukar pakaiannya. Kemudian dia masuk ke dalam Bait TUHAN dan menyembah-Nya, lalu pergi ke istananya. Atas permintaannya roti dihidangkan untuknya, lalu dia bersantap. Maka berkatalah para pegawainya kepadanya, “Apakah maksud perbuatan tuanku ini? Ketika anak itu masih hidup, tuanku berpuasa serta menangis, tetapi sesudah anak itu meninggal, tuanku bangun dan bersantap.” Jawabnya, “Ketika anak itu masih hidup aku berpuasa serta menangis, kerana fikirku, ‘Siapa tahu TUHAN akan mengasihani aku, sehingga anak itu tetap hidup.’ Tetapi sekarang dia sudah meninggal, mengapakah aku harus berpuasa? Dapatkah aku mengembalikannya lagi? Aku yang akan pergi kepadanya, tetapi dia tidak akan kembali kepadaku.” Lalu Daud menghiburkan Batsyeba, isterinya. Dia menghampiri perempuan itu dan tidur dengan dia. Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki, dan Daud menamainya Salomo. TUHAN mengasihi anak ini, dan dengan perantaraan nabi Natan anak itu dinamai Yedija selaras dengan pesan TUHAN.