2 RAJA-RAJA 4:1-7
2 RAJA-RAJA 4:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari, balu seorang nabi datang kepada Elisa dan berkata, “Tuan, suami saya telah meninggal! Tuan tahu bahawa dia seorang yang taat kepada Allah tetapi dia berhutang kepada seseorang. Sekarang orang itu datang untuk merampas dua orang anak lelaki saya dan menjadikan mereka abdi untuk membayar hutang mendiang suami saya.” Elisa bertanya, “Apakah yang dapat saya lakukan? Barang apa yang ada di rumah puan?” “Tidak ada apa-apa,” jawab balu itu, “kecuali minyak zaitun di dalam sebuah bejana kecil.” Elisa berkata, “Pergilah kepada jiran-jiran puan dan pinjamlah seberapa banyak bejana kosong yang ada. Selepas itu puan dan anak-anak puan harus masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Lalu tuanglah minyak dari bejana kecil itu ke dalam bejana-bejana lain. Kumpulkanlah bejana yang telah penuh.” Kemudian balu itu pulang dan masuk ke dalam rumah bersama dengan anak-anaknya, lalu menutup pintu. Dia mengambil minyak zaitun di dalam bejana kecil itu dan menuangnya ke dalam bejana-bejana yang lain sebaik sahaja anak-anaknya membawa bejana itu kepadanya. Apabila mereka telah memenuhkan semua bejana itu, dia bertanya, “Masih ada lagi?” Salah seorang anaknya menjawab, “Tiada lagi.” Ketika itu juga minyak itu berhenti mengalir. Kemudian balu itu balik kepada Nabi Elisa. Lalu Elisa berkata kepadanya, “Juallah minyak zaitun itu dan bayarlah semua hutang puan, dan wang selebihnya untuk nafkah hidup sehari-hari bagi puan dan anak-anak puan.”
2 RAJA-RAJA 4:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu salah seorang isteri daripada rombongan nabi mengadu kepada Elisa demikian, “Hambamu, iaitu suamiku, sudah meninggal. Tuan tahu betapa dahulunya memang hambamu itu seorang yang takut kepada TUHAN. Tetapi sekarang si pemiutang datang untuk mengambil kedua-dua orang anakku untuk dijadikan abdinya.” Kata Elisa kepadanya, “Apakah yang dapat kulakukan untukmu? Beritahu aku apa yang kaumiliki di rumah.” Jawabnya, “Hambamu ini tidak memiliki apa-apa di rumah, kecuali sebuah kendi berisi minyak.” Kata Elisa, “Pergilah, mintalah bejana-bejana kosong daripada semua tetanggamu. Mintalah sebanyak yang mungkin, jangan sedikit. Setelah itu, masuklah, tutuplah pintu sesudah engkau dan anak-anakmu masuk, lalu tuangkanlah minyak itu ke dalam semua bejana itu. Ketepikan mana-mana yang penuh.” Maka pergilah wanita itu meninggalkan dia, kemudian menutup pintu sesudah dia dan anak-anaknya masuk. Anak-anaknya mendekatkan bejana-bejana itu kepadanya, sementara dia terus menuang. Ketika bejana-bejana itu telah penuh, berkatalah dia kepada anaknya, “Bawa bejana yang lain.” Tetapi anaknya menjawab, “Tidak ada bejana lagi.” Lalu minyak itu pun berhenti mengalir. Maka wanita itu pun pergi memberitahukan hal itu kepada hamba Allah. Kata Elisa, “Pergilah, juallah minyak itu, dan lunaskanlah hutangmu. Engkau dan anak-anakmu dapat hidup dengan bakinya.”