2 RAJA-RAJA 2:1-6
2 RAJA-RAJA 2:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Masanya tiba bagi TUHAN untuk mengangkat Elia ke syurga dengan angin puting beliung. Pada masa itu Elia dan Elisa telah berangkat dari Gilgal. Di tengah jalan Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Betel.” Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka berdua pergi ke Betel. Sekumpulan nabi yang tinggal di Betel menghampiri Elisa dan bertanya kepadanya, “Adakah engkau tahu bahawa TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu pada hari ini?” Elisa menjawab, “Aku tahu, tetapi janganlah kita sebutkan hal itu.” Kemudian Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Yerikho.” Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka berdua pergi ke Yerikho. Sekumpulan nabi yang tinggal di Yerikho menghampiri Elisa lalu bertanya kepadanya, “Adakah engkau tahu bahawa TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu pada hari ini?” Elisa menjawab, “Aku tahu, tetapi janganlah kita sebutkan hal itu.” Setelah itu Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Sungai Yordan.” Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka meneruskan perjalanan.
2 RAJA-RAJA 2:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka apabila TUHAN hendak mengangkat Elia ke syurga dalam angin puting beliung, Elia dan Elisa sedang dalam perjalanan dari Gilgal. Kata Elia kepada Elisa, “Tinggal sajalah di sini, kerana TUHAN menyuruh aku ke Betel.” Jawab Elisa, “Demi TUHAN yang hidup, dan demi hidup tuan sendiri, hamba tidak akan meninggalkan tuan.” Lalu pergilah mereka ke Betel. Lantas keluarlah rombongan nabi di Betel untuk menemui Elisa lalu bertanya kepadanya, “Tahukah engkau bahawa hari ini TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu?” Jawabnya, “Aku tahu. Diamlah!” Kata Elia kepadanya, “Elisa, tinggal sajalah di sini, kerana TUHAN menyuruh aku ke Yerikho.” Jawabnya, “Demi TUHAN yang hidup, dan demi hidup tuan sendiri, hamba tidak akan meninggalkan tuan.” Lalu sampailah mereka di Yerikho. Rombongan nabi di Yerikho pun mendekati Elisa dan bertanya kepadanya, “Tahukah engkau bahawa hari ini TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu?” Jawabnya, “Aku tahu. Diamlah!” Kata Elia kepadanya, “Tinggal sajalah di sini, kerana TUHAN menyuruh aku ke Sungai Yordan.” Jawabnya, “Demi TUHAN yang hidup, dan demi hidup tuan sendiri, hamba tidak akan meninggalkan tuan.” Lalu berjalanlah kedua-dua orang itu.