2 TAWARIKH 24:1-27

2 TAWARIKH 24:1-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Yoas menjadi raja Yehuda ketika baginda berumur tujuh tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama empat puluh tahun. Bondanya ialah Zibya, yang berasal dari kota Bersyeba. Raja Yoas melakukan perkara-perkara yang menyenangkan hati TUHAN selama Imam Yoyada masih hidup. Yoyada memilih dua orang isteri bagi Raja Yoas, dan daripada mereka Raja Yoas mendapat putera dan puteri. Selepas Raja Yoas memerintah selama beberapa waktu, baginda mengambil keputusan untuk memperbaiki Rumah TUHAN. Baginda memerintah para imam dan orang Lewi pergi ke kota-kota di Yehuda supaya mengumpulkan wang daripada seluruh rakyat sehingga cukup untuk memperbaiki Rumah TUHAN setiap tahun. Baginda memerintah mereka supaya bertindak dengan segera, tetapi orang Lewi berlambat-lambat. Oleh itu Raja Yoas memanggil Yoyada, pemimpin mereka dan bertanya, “Mengapa kamu tidak menyuruh orang Lewi pergi kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem untuk mengumpulkan cukai yang dikenakan Musa, hamba TUHAN itu, bagi Khemah TUHAN?” Pada masa itu pengikut-pengikut Atalya, perempuan zalim itu, telah merosakkan Rumah TUHAN dan banyak alat yang dikhususkan bagi Allah telah digunakan mereka untuk menyembah Baal. Raja memerintah orang Lewi membuat sebuah peti, lalu meletakkannya di hadapan pintu gerbang Rumah TUHAN. Mereka memberitakan ke seluruh Yerusalem dan Yehuda, bahawa tiap-tiap orang mesti membawa cukai untuk TUHAN, seperti yang diwajibkan oleh Musa, hamba TUHAN itu, di padang gurun dahulu. Rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka suka akan cadangan itu, lalu membawa wang cukai mereka dan memenuhkan peti itu. Tiap-tiap hari orang Lewi membawa peti itu kepada pegawai raja untuk diperiksa. Apabila peti itu sudah penuh, setiausaha raja dan wakil Imam Agung mengeluarkan wang itu lalu mengembalikan peti itu di tempatnya. Demikianlah mereka mengumpulkan wang yang banyak sekali. Raja dan Yoyada menyerahkan wang itu kepada pegawai-pegawai yang mengurus pembaikan Rumah TUHAN. Para pegawai itu mengupah tukang batu, tukang kayu, dan tukang besi, untuk melakukan kerja pembaikan itu. Semua tukang itu bekerja keras, dan mereka membaiki Rumah TUHAN sehingga menjadi kukuh dan baik seperti dahulu. Setelah pekerjaan itu selesai, lebihan emas, dan perak itu diberikan kepada raja dan Yoyada. Emas dan perak itu digunakan untuk membuat perkakas-perkakas bagi Rumah TUHAN: alat-alat untuk upacara ibadat dan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga mangkuk-mangkuk, serta alat-alat lain. Selama Yoyada hidup, korban untuk menyenangkan hati TUHAN selalu dipersembahkan di Rumah TUHAN. Yoyada mencapai umur yang sangat lanjut dan meninggal ketika dia berumur 130 tahun. Dia dikebumikan di makam diraja di Kota Daud, sebagai penghargaan bagi jasanya kepada Allah, Rumah TUHAN, dan umat Israel. Tetapi setelah Yoyada meninggal, pemimpin-pemimpin Yehuda mempengaruhi Raja Yoas supaya mendengar nasihat mereka. Oleh itu rakyat tidak lagi beribadat di Rumah TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Sebaliknya mereka mula menyembah berhala dan patung-patung Dewi Asyera. Dosa mereka itu menyebabkan TUHAN murka terhadap Yehuda dan Yerusalem. TUHAN mengutus nabi-nabi untuk memberikan amaran kepada mereka supaya kembali mengabdi kepada-Nya, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan. Kemudian Roh Allah menguasai Zakharia anak Yoyada, imam itu. Zakharia berdiri di tempat yang dapat dilihat orang ramai, lalu berseru, “TUHAN Allah berfirman, ‘Mengapa kamu tidak taat kepada perintah-Ku sehingga mendatangkan bencana kepada diri kamu sendiri? Kamu telah meninggalkan Aku; oleh itu Aku juga meninggalkan kamu!’ ” Raja Yoas ikut berpakat dengan rakyat untuk menentang Zakharia, maka dengan titah raja, rakyat merejam Zakharia di halaman Rumah TUHAN. Raja Yoas lupa akan jasa dan kesetiaan Yoyada, bapa Zakharia, kepada baginda. Kemudian baginda memberikan perintah supaya Zakharia dibunuh. Pada saat kematiannya, Zakharia berseru, “Semoga TUHAN melihat perbuatan kamu ini dan menghukum kamu!” Pada musim luruh tahun itu, tentera Siria menyerang Yehuda dan Yerusalem. Mereka membunuh semua pemimpin dan membawa banyak barang jarahan ke Damsyik. Tentera Siria tidak besar, tetapi TUHAN membiarkan mereka mengalahkan tentera Yehuda yang lebih besar, kerana penduduk Yehuda telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Dengan cara itu Raja Yoas dihukum. Raja Yoas luka parah. Apabila pasukan musuh mengundurkan diri, dua orang pegawai Raja Yoas bermuslihat terhadap baginda. Mereka membunuh Raja Yoas di tempat peraduannya untuk membalas dendam kematian anak lelaki Yoyada, imam itu. Raja Yoas dimakamkan di Kota Daud, tetapi bukan di makam diraja. ( Orang yang bermuslihat terhadap Raja Yoas ialah Zabad dan Yozabad. Ibu Zabad ialah Simeat dari Amon, dan ibu Yozabad ialah Simrit dari Moab.) Kisah tentang putera-putera Raja Yoas dan nubuat-nubuat yang tidak baik tentang dirinya, serta kisah tentang cara baginda membaiki Rumah TUHAN tercatat di dalam kitab Tafsiran Kitab Raja-Raja. Raja Amazia, putera Raja Yoas, menjadi raja menggantikan ayahandanya.

2 TAWARIKH 24:1-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yoas berumur tujuh tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama empat puluh tahun di Yerusalem. Nama ibunya ialah Zibya, dari Bersyeba. Yoas melakukan apa yang benar di mata TUHAN selama Imam Yoyada hidup. Yoyada memilih dua orang isteri baginya, lalu Yoas pun dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan. Beberapa waktu kemudian Yoas berniat memulihkan Bait TUHAN. Maka dikumpulkannyalah para imam dan bani Lewi, lalu katanya kepada mereka, “Pergilah ke kota-kota Yehuda dan pungutlah wang daripada semua orang Israel untuk keperluan pembaikan Bait Allahmu setiap tahun. Lakukanlah hal itu dengan segera!” Akan tetapi, bani Lewi tidak segera melaksanakannya. Oleh sebab itu raja memanggil Ketua Imam, Yoyada dan berkata kepadanya, “Mengapakah engkau tidak menuntut bani Lewi agar mereka membawa dari Yehuda dan dari Yerusalem cukai yang dikenakan Musa, hamba TUHAN itu, kepada jemaah Israel untuk khemah tempat loh hukum? Kerana anak-anak Atalya, perempuan fasiq itu, telah membongkar Rumah Allah, bahkan menggunakan semua barang suci Bait TUHAN untuk para Baal.” Maka atas perintah raja dibuatlah sebuah peti lalu ditempatkan di luar pintu gerbang Bait TUHAN. Setelah itu, disebarkanlah pengumuman di Yehuda dan Yerusalem bahawa mereka harus mempersembahkan kepada TUHAN cukai yang dikenakan Musa, hamba Allah itu, terhadap orang Israel di gurun. Semua pembesar dan seluruh rakyat bergembira. Mereka pun membawa cukai masing-masing dan memasukkannya ke dalam peti itu sampai penuh. Setiap kali, bani Lewi membawa peti itu kepada petugas raja, dan ketika mereka melihat bahawa wang di dalamnya sudah banyak, maka datanglah jurutulis raja serta petugas daripada ketua imam untuk mengosongkan peti itu. Selanjutnya mereka membawa peti itu kembali ke tempatnya. Demikianlah dilakukan mereka setiap hari, dan banyaklah wang yang terkumpul. Raja dan Yoyada menyerahkan wang itu kepada para pekerja yang melaksanakan pekerjaan di Bait TUHAN. Mereka ini mengupah tukang batu dan tukang pahat untuk memulihkan Bait TUHAN, juga tukang besi dan tukang gangsa untuk memperbaik Bait TUHAN. Para pekerja itu pun bekerja, dan pekerjaan perbaikan itu maju dalam tangan mereka. Mereka membangunkan Rumah Allah menurut keadaannya semula dan mengukuhkannya. Setelah selesai, mereka membawa wang sisanya kepada raja dan Yoyada. Wang itu kemudian digunakan untuk membuat kelengkapan Bait TUHAN, iaitu kelengkapan-kelengkapan untuk ibadat dan persembahan korban, juga pedupaan-pedupaan serta kelengkapan-kelengkapan emas dan perak. Sepanjang hayat Yoyada korban bakaran sentiasa dipersembahkan di dalam Bait TUHAN. Yoyada menjadi tua dan lanjut usia, lalu meninggal. Umurnya seratus tiga puluh tahun pada waktu kematiannya. Dia dikebumikan di Kota Daud bersama-sama para raja kerana dia telah berbuat baik di Israel terhadap Allah dan Bait-Nya. Setelah kematian Yoyada, para pembesar Yehuda datang dan sujud memberi hormat kepada raja. Sejak saat itu, raja mendengar mereka. Mereka mengabaikan Bait TUHAN, Allah nenek moyang mereka, lalu beribadat kepada patung-patung Asyera dan berhala-berhala. Yehuda dan Yerusalem pun ditimpa murka kerana kesalahan mereka itu. Bagaimanapun, TUHAN mengutus para nabi kepada mereka supaya mereka kembali kepada-Nya. Nabi-nabi itu mengingatkan mereka, tetapi mereka tidak mahu mendengar. Kemudian Roh Allah menguasai Zakharia, anak Imam Yoyada. Dia tampil di depan rakyat dan berkata kepada mereka, “Beginilah firman Allah, ‘Mengapakah kamu melanggar perintah-perintah TUHAN sehingga kamu tidak beruntung? Kerana kamu meninggalkan TUHAN, maka Dia pun meninggalkan kamu.’ ” Akan tetapi, mereka bersekongkol melawannya, dan atas perintah raja mereka melempari dia dengan batu di pelataran Bait TUHAN. Raja Yoas tidak mengingat kebaikan yang ditunjukkan Yoyada, ayah Zakharia, kepadanya. Malah dia membunuh anak Yoyada itu. Menjelang kematiannya Zakharia berseru, “Semoga TUHAN melihatnya dan menuntut balas!” Pada pergantian tahun, pasukan Aram maju menyerang Yoas. Mereka memasuki Yehuda dan Yerusalem lalu membunuh semua pemimpin bangsa di antara rakyat. Lalu mereka mengirimkan semua jarahan mereka kepada raja Damsyik. Meskipun pasukan Aram datang dengan orang yang tidak banyak bilangannya, TUHAN menyerahkan pasukan yang sangat besar ke tangan mereka, kerana orang Yehuda telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Demikianlah orang Aram menjalankan hukuman terhadap Yoas. Ketika mereka pergi, mereka meninggalkan Yoas dalam keadaan terluka parah. Pegawai-pegawainya pun kemudian bersekongkol melawannya kerana penumpahan darah anak Imam Yoyada itu, lalu membunuhnya di atas tempat tidurnya. Yoas mati dan dimakamkan di Kota Daud, tetapi tidak di permakaman raja. Orang yang bersekongkol melawannya ialah Zabad, anak Simeat perempuan Amon, dan Yozabad, anak Simrit perempuan Moab. Tentang anak-anaknya, pernyataan ilahi yang banyak menentang dia, dan pemulihan Rumah Allah, sesungguhnya semua itu tertulis dalam tafsiran kitab raja-raja. Maka Amazia, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.