2 TAWARIKH 22:7-9 - Compare All Versions
2 TAWARIKH 22:7-9 BM (Alkitab Berita Baik)
Allah telah menentukan agar Raja Ahazia menemui kejatuhannya apabila baginda melawat Raja Yoram. Ketika Raja Ahazia berada di situ, baginda dan Raja Yoram dicabar oleh seorang yang bernama Yehu anak Nimsi, yang telah dipilih TUHAN untuk membinasakan keluarga Raja Ahab. Ketika Yehu menjalankan hukuman TUHAN terhadap keluarga itu, dia berjumpa dengan sekumpulan pemimpin Yehuda dan putera-putera saudara Raja Ahazia yang ikut dalam kunjungan itu. Maka Yehu membunuh mereka semua. Kemudian Yehu menyuruh orang mencari Raja Ahazia. Baginda ditangkap ketika bersembunyi di Samaria. Mereka membawa Raja Ahazia kepada Yehu, lalu baginda dibunuh. Walaupun begitu mereka memakamkan Raja Ahazia kerana mereka menghormati datuk baginda, Raja Yosafat yang telah mengabdi kepada TUHAN dengan sepenuh hati. Tiada sesiapa lagi daripada keluarga Raja Ahazia yang dapat mengambil alih pemerintahan.
2 TAWARIKH 22:7-9 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Kehancuran Ahazia ditentukan Allah ketika dia pergi menemui Yoram. Sesampainya di sana, keluarlah dia bersama-sama Yoram mendapatkan Yehu anak Nimsi, yang telah dilantik TUHAN untuk melenyapkan keluarga Ahab. Sewaktu Yehu sedang menjalankan hukuman atas keluarga Ahab, dia bertemu dengan para pembesar Yehuda dan anak-anak saudara-saudara Ahazia, yang melayani Ahazia. Mereka semua ditumpaskannya. Lalu dicarinya Ahazia. Ahazia pun tertangkap ketika dia bersembunyi di Samaria. Dia dibawa ke hadapan Yehu lalu dihukum mati. Jenazahnya dimakamkan juga, kerana kata orang, “Dia ini cucu Yosafat, yang mencari hadirat TUHAN dengan segenap hatinya.” Tidak ada orang lagi dalam keluarga Ahazia yang mampu memerintah kerajaan itu.