2 TAWARIKH 21:4-7,16-20
2 TAWARIKH 21:4-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas Raja Yehoram mengukuhkan pemerintahannya, baginda membunuh semua saudara lelakinya, dan juga beberapa orang pegawai tinggi. Raja Yehoram menjadi raja ketika baginda berumur 32 tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lapan tahun. Baginda mengikut cara hidup Raja Ahab dan raja-raja Israel yang lain kerana baginda berkahwin dengan salah seorang puteri Raja Ahab. Raja Yehoram berdosa terhadap TUHAN, tetapi TUHAN tidak mahu memusnahkan raja keturunan Raja Daud, kerana TUHAN telah berjanji kepada Raja Daud bahawa keturunan baginda akan memerintah selama-lamanya.
2 TAWARIKH 21:16-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa itu ada orang Filistin dan orang Arab yang tinggal dekat perkampungan orang Etiopia di kawasan pantai. TUHAN menggerakkan hati mereka untuk memerangi Raja Yehoram. Mereka menyerang Yehuda, menjarah harta di istana, dan menawan semua isteri dan putera raja kecuali Ahazia, putera yang bongsu. Setelah semua hal itu berlaku, TUHAN mendatangkan penyakit usus yang teruk kepada Raja Yehoram. Selama hampir dua tahun penyakit itu menjadi semakin teruk sehingga akhirnya raja mangkat dengan sangat menderita. Rakyat tidak menyalakan unggun api sebagai tanda berkabung untuk baginda, sebagaimana yang telah dilakukan bagi nenek moyangnya. Raja Yehoram menjadi raja ketika baginda berusia 32 tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lapan tahun. Tiada sesiapa pun berasa sedih ketika baginda mangkat. Mereka memakamkan baginda di Kota Daud, tetapi bukan di makam diraja.
2 TAWARIKH 21:4-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah Yoram bertakhta atas kerajaan ayahnya dan memperkuat kedudukannya, dia membunuh semua saudaranya dan juga beberapa orang pembesar Israel dengan pedang. Yoram berumur tiga puluh dua tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama lapan tahun. Dia hidup mengikuti jejak raja-raja Israel seperti yang dilakukan oleh keluarga Ahab, kerana isterinya ialah anak Ahab, dan dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN. Meskipun begitu, lantaran perjanjian yang diikat-Nya dengan Daud, TUHAN tidak mahu membinasakan keluarga Daud. Allah memang berjanji bahawa Dia akan mengurniakan suatu pelita kepada Daud dan kepada keturunannya sepanjang masa.
2 Tawarikh 21:16-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian TUHAN menggerakkan hati orang Filistin dan orang Arab yang tinggal dekat orang Kush untuk menyerang Yoram. Mereka maju menyerang Yehuda, menerobosnya, dan mengangkut semua harta benda yang terdapat di istana raja, juga anak-anak dan isteri-isterinya, sehingga tidak ada seorang anak lelaki pun yang tertinggal padanya kecuali Yoahas, anak bongsunya. Sesudah semua itu, TUHAN mengazabnya dengan penyakit pada ususnya yang tidak dapat sembuh. Selang beberapa waktu pada akhir dua tahun, terburailah ususnya kerana penyakit itu, lalu dia meninggal dalam penderitaan yang payah. Rakyatnya tidak menyalakan api baginya, seperti yang dilakukan terhadap nenek moyangnya. Dia berumur tiga puluh dua tahun pada waktu menaiki takhta. Selama lapan tahun dia bertakhta di Yerusalem. Dia meninggal tanpa disukai orang dan dimakamkan di Kota Daud, tetapi bukan di permakaman diraja.