1 TIMOTIUS 3:1-7
1 TIMOTIUS 3:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Sungguh benar kata-kata ini, “Seseorang yang ingin menjadi pemimpin jemaah, dia menginginkan pekerjaan yang sangat baik.” Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela. Dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja, bijaksana, tahu mengawal diri, dan tertib kelakuannya. Dia mesti suka menyambut orang ke rumahnya, dapat mengajar orang, dan bukan seorang pemabuk yang suka berkelahi. Sebaliknya, dia mesti lemah-lembut dan suka akan kedamaian. Dia tidak boleh tamak akan wang. Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya agar menurut perintahnya serta menghormati dia. Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat mengurus jemaah Allah? Pemimpin jemaah seharusnya bukan orang yang baru sahaja menjadi Kristian, kerana nanti dia menjadi sombong lalu terkutuk seperti Iblis dahulu. Dia mestilah seorang yang dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dipermalukan lalu jatuh ke dalam perangkap Iblis.
1 TIMOTIUS 3:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA inilah pŭrkataan yang bŭnar, jikalau barang sa’orang bŭrkahandak jawatan guru Injil itu, maka iya bŭrkahandak satu pŭkŭrjaan yang baik. Adapun guru Injil itu patutlah sa’orang yang tiada bŭrsalah, dan yang mŭnaroh bŭristri sa’orang sahja, lagi hemat, dan suman, dan bŭradab, dan bŭrhati kasihan, dan yang tahu jalan mŭngajar, Dan yang tiada sangat pŭminum anggor, dan bukan orang pŭrkŭliehan, dan yang tiada gŭlojoh akan laba yang kŭji, mŭlainkan sabar, lagi yang tiada suka bŭrgadoh, dan tiada tŭmaa. Dan sa’orang yang mŭmrentahkan rumah tangganya dŭngan sŭpatutnya, dan anak buahnya ada tŭrta’lok dŭngan suman sŭmata mata. Kŭrna jikalau barang sa’orang yang tiada tahu mŭmrentahkan rumah tangganya sŭndiri, maka bagimana bulih iya mŭmrentahkan sidang jŭmaah Allah. Jangan iya sa’orang yang bahru masok agama, asal jangan iya tŭrhangat sŭbab chongkak, lalu jatohlah iya kŭlak kŭdalam kabinasaan iblis. Tambahan pula, dapat tiada patutlah iya mŭndapat namanya yang baik deripada orang kluaran, lamun jangan iya jatoh kŭdalam kachŭlaan, dan jŭrat iblis.
1 TIMOTIUS 3:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata-kata ini benar: Jika seseorang ingin menjadi penyelia jemaah, maka dia ingin akan pekerjaan yang baik. Seorang penyelia jemaah haruslah tidak bercela. Dia harus beristeri seorang sahaja, mengamalkan kesederhanaan dan penguasaan diri, dihormati, meraikan tetamu dengan tangan terbuka, dan berkebolehan mengajar. Dia seharusnya bukan pemabuk, tidak melakukan kekerasan, lemah lembut, bukan kaki gaduh, dan tidak tamak akan wang. Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya supaya bersikap taat dan hormat. (Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia hendak mengurus jemaah Allah?) Dia seharusnya bukan seorang yang baru beriman, takut kalau-kalau dia menjadi sombong dan dikutuk seperti Iblis dahulu. Dia mestilah mempunyai nama yang baik dan dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dicela dan terjerumus ke dalam perangkap Iblis.