1 TESALONIKA 3:6-13
1 TESALONIKA 3:6-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Sekarang Timotius sudah kembali, dan dia membawa khabar baik bahawa kamu masih percaya kepada Kristus dan bahawa kamu saling mengasihi. Dia memberitahu kami bahawa kamu sentiasa gembira apabila mengenang kami dan kamu ingin berjumpa dengan kami seperti kami pun ingin berjumpa dengan kamu. Itulah sebabnya, saudara-saudara seiman, dalam segala kesusahan dan penderitaan kami, kami terhibur oleh berita tentang kamu. Kepercayaan kamu kepada Kristus menggalakkan kami, kerana sekarang kami berasa sungguh-sungguh hidup, jika kamu tetap teguh bersatu dengan Tuhan. Sekarang kami sangat bersyukur kepada Allah kerana kamu. Kami bersyukur kepada Allah bagi kegembiraan yang kami alami di hadirat-Nya kerana kamu. Siang malam kami memohon kepada-Nya dengan sepenuh hati, supaya kami sendiri boleh berjumpa dengan kamu, dan melengkapkan apa yang masih kamu perlukan untuk percaya kepada Kristus. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan kita Yesus, membuka jalan bagi kami untuk berjumpa dengan kamu! Semoga Tuhan menyebabkan kamu semakin saling mengasihi dan semakin mengasihi semua orang, sehingga kasih kamu kepada orang lain seperti kasih kami kepada kamu. Dengan cara ini Tuhan akan menguatkan hati kamu, sehingga kamu akan menjadi suci dan tidak bercela di hadirat Allah Bapa kita, pada waktu Tuhan kita Yesus datang dengan semua orang yang menjadi milik-Nya.
1 TESALONIKA 3:6-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi skarang apabila datanglah Timothius itu deripada kamu kapada kami, sŭrta mŭmbawa khabar yang baik deri hal iman dan kasih kamu itu, dan lagi kamu ada mŭnaroh ingat yang baik sŭntiasa bagi kami, sŭrta rindu sangat sangat handak bŭrtŭmu dŭngan kami, spŭrti kami pun dŭmkian juga akan kamu. Maka sŭbab itulah saudara saudara, kami tŭlah tŭrhibor dalam sagala kadukaan, dan kasusahan kami ulih sŭbab iman kamu. Skarang adalah kami hidop, jikalau kiranya kamu tŭtap bagie Tuhan. Kŭrna shukor apakah lagi yang dapat kami balaskan pada Allah kŭrna kamu, deri sŭbab sagala sukachita yang ada kami bŭrsuka suka ulih sŭbab kamu dihadapan Allah kami. Pada siang dan malam kami mŭmohonkan doa sangat sangat, supaya kami bŭrjumpa muka kamu, dan supaya bulih kami mŭnyampornakan barang yang ada bŭrkorangan pada iman kamu itu. Skarang biarlah kiranya Allah sahja, iya itu Ayah kami, dan Tuhan kami Isa Almasih mŭnyampiekan jalan kami kapada kamu. Maka Tuhanlah kŭlak akan mŭnambahi dan mŭlempahkan kamu dalam bŭrkasih kasihan sa’orang akan sa’orang, dan pada sagala orang, sungguh pun spŭrti klakuan kami kapada kamu. Pada akhirnya, supaya Tuhan bulih mŭnŭtapkan hati kamu dalam kasuchiannya dŭngan tiada bŭrkŭchŭlaan dihadapan Allah, iya itu Ayah kami, pada masa kadatangan Tuhan kami Isa Almasih, sŭrta dŭngan sagala orang orang salihnya.
1 TESALONIKA 3:6-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekarang Timotius telah pulang membawa khabar baik tentang iman dan kasihmu. Dia memberitahu bahawa kamu sentiasa mengenang mesra terhadap kami serta ingin menemui kami sebagaimana kami ingin menemuimu. Oleh itu, saudara-saudara, di tengah-tengah kesusahan dan kesengsaraan, hati kami terhibur oleh berita tentang imanmu. Kerana kini kami benar-benar hidup, memandangkan kamu tetap berdiri teguh dalam Tuhan. Bagaimanakah kami harus bersyukur kepada Allah atas segala kegembiraan yang kami rasakan kerana kamu di hadapan Allah kita? Siang malam kami berdoa sepenuh hati semoga kami dapat menemuimu dan melengkapkan apa yang masih kurang dalam imanmu. Semoga Allah dan Bapa kita, dan Yesus, Tuhan kita melorongkan pertemuan kita. Semoga Tuhan menjadikanmu semakin kasih-mengasihi dan semakin mengasihi sesama manusia sebagaimana kami mengasihimu. Dengan demikian Tuhan akan memperteguh hatimu sehingga kamu menjadi suci, tiada cacat cela di hadapan Allah Bapa kita semasa Tuhan kita Yesus datang dengan semua pengikut-Nya yang salih.