1 SAMUEL 7:7-12
1 SAMUEL 7:7-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Apabila orang Filistin mendengar bahawa umat Israel sudah berkumpul di Mizpa, lima orang raja Filistin berangkat ke sana bersama dengan tentera mereka untuk menyerang umat Israel. Umat Israel menjadi takut ketika mereka mendengar hal itu. Mereka berkata kepada Samuel, “Jangan berhenti berdoa kepada TUHAN Allah kita, supaya kita diselamatkan-Nya daripada orang Filistin.” Samuel menyembelih seekor anak domba muda lalu mempersembahkannya sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Setelah itu dia berdoa minta TUHAN menolong Israel, dan TUHAN mengabulkan doanya itu. Sedang Samuel mempersembahkan korban itu, orang Filistin mula menyerang mereka. Tetapi pada saat itu juga, TUHAN mengguntur dari langit untuk melawan orang Filistin. Mereka menjadi kacau-bilau lalu lari kebingungan. Tentera Israel keluar dari Mizpa lalu mengejar orang Filistin sehingga hampir sampai di Bet-Kar, sambil membunuh mereka di sepanjang jalan. Kemudian Samuel mendirikan sebuah batu di sempadan antara Mizpa dan Sen. Dia berkata, “TUHAN sudah menolong kita dengan sepenuhnya.” Oleh itu dia menamakan batu itu “Batu Pertolongan.”
1 SAMUEL 7:7-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika orang Filistin mendengar bahawa orang Israel berkumpul di Mizpa, majulah raja-raja kota orang Filistin mendatangi umat Israel. Hal itu didengar oleh orang Israel, dan mereka ketakutan menghadapi orang Filistin. Kata orang Israel kepada Samuel, “Janganlah berhenti berseru bagi kami kepada TUHAN, Allah kita, supaya diselamatkan-Nya kami daripada tangan orang Filistin.” Lalu Samuel mengambil seekor anak domba yang masih menyusu dan mempersembahkannya bulat-bulat sebagai korban bakaran kepada TUHAN. Samuel berseru kepada TUHAN bagi orang Israel dan TUHAN menjawabnya. Sementara Samuel mempersembahkan korban bakaran itu, orang Filistin maju mendekat untuk berperang melawan orang Israel. Akan tetapi, pada hari itu, kepada orang Filistin, TUHAN memperdengarkan bunyi guruh yang teramat kuat terhadap orang Filistin dan mengharu-birukan mereka sehingga pasukan mereka tumpas di hadapan orang Israel. Lalu keluarlah orang Israel dari Mizpa untuk mengejar orang Filistin, dan menyerang mereka sehingga hilir Bet-Kar. Kemudian Samuel mengambil sebuah batu dan mendirikannya di antara Mizpa dengan Yesana. Dia menamainya Eben-Haezer, katanya, “Sampai di sini TUHAN telah menolong kita.”