1 SAMUEL 3:3-10
1 SAMUEL 3:3-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa itu Samuel tidur di dalam rumah TUHAN, tempat letaknya Tabut Perjanjian Allah. Sebelum fajar, ketika pelita di atas mazbah masih menyala, TUHAN memanggil Samuel. Samuel menjawab, “Ya tuan!” Kemudian dia lari kepada Eli dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau. Pergilah tidur.” Lalu Samuel pergi tidur semula. Kemudian TUHAN memanggil Samuel lagi. Samuel tidak tahu bahawa yang memanggilnya itu TUHAN, kerana belum pernah TUHAN berfirman kepadanya. Oleh itu dia bangun dan pergi kepada Eli, dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau, anakku. Pergilah tidur.” TUHAN memanggil Samuel pada kali ketiga, lalu Samuel bangun dan pergi kepada Eli. Dia berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Kemudian Eli sedar bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. Oleh itu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah tidur. Jika engkau dipanggil lagi, jawablah, ‘Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.’ ” Lalu Samuel balik ke tempat tidurnya. Kemudian TUHAN datang dan berdiri di tempat itu serta memanggil dia lagi, “Samuel! Samuel!” Samuel menjawab, “Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.”
1 SAMUEL 3:3-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pelita Bait Suci Allah belum lagi padam dan Samuel sedang berbaring di tempat tabut Allah di dalam Bait Suci TUHAN. Lalu TUHAN memanggil Samuel, dan dia menjawab, “Ya, aku ada di sini,” lalu dia berlari kepada Eli dan berkata, “Ini aku. Tuan memanggilku?” Jawabnya, “Aku tidak memanggilmu. Berbaringlah lagi.” Lalu pergilah dia berbaring. TUHAN memanggil Samuel sekali lagi. Maka bangunlah Samuel lalu pergi mendapatkan Eli seraya berkata, “Ya, aku ada di sini, bukankah tuan memanggil aku?” Tetapi Eli berkata, “Aku tidak memanggil, anakku; tidurlah semula.” Samuel belum lagi mengenal TUHAN bahkan firman TUHAN belum pernah dinyatakan kepadanya. Kemudian TUHAN memanggil Samuel sekali lagi, buat kali ketiganya. Samuel pun bangunlah, lalu pergi mendapatkan Eli seraya katanya, “Ya, aku ada di sini, bukankah tuan memanggil aku?” Maka mengertilah Eli bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. Lalu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah berbaring. Nanti, jika Dia memanggil engkau, katakanlah, ‘Ya TUHAN, berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya.’ ” Maka pergilah Samuel berbaring di tempatnya. TUHAN pun hadir dan memanggilnya seperti yang sudah-sudah, “Samuel! Samuel!” Jawab Samuel, “Berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya.”