1 SAMUEL 26:7-11
1 SAMUEL 26:7-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada malam itu Daud dan Abisai menyelinap ke dalam perkhemahan Raja Saul, lalu melihat Raja Saul sedang tidur di tengah-tengah perkhemahan. Tombak Raja Saul tertancap di tanah dekat kepalanya. Abner dan pasukannya tidur di sekeliling Raja Saul. Abisai berkata kepada Daud, “Allah telah menyerahkan musuh tuan kepada tuan pada malam ini. Benarkanlah saya menancapkan tombaknya sendiri ke badannya sehingga tembus ke tanah. Saya akan membunuh dia dengan sekali tikaman saja, tidak usah sampai dua kali!” Tetapi Daud berkata, “Janganlah kauapa-apakan baginda! Tentu TUHAN akan menghukum orang yang berbuat jahat kepada raja yang dipilih-Nya. Demi TUHAN yang hidup, aku tahu bahawa TUHAN sendiri akan membunuh Raja Saul, sama ada oleh kematian biasa ketika akhir hayatnya sudah sampai, ataupun disebabkan oleh peperangan. Kiranya TUHAN mencegah aku membunuh raja yang dipilih-Nya! Kita ambil tombak dan kendinya saja, lalu pergi dari sini!”
1 SAMUEL 26:7-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesampainya Daud dan Abisai di tempat pasukan itu pada malam hari, tampaklah Saul berbaring tidur di tengah-tengah perkhemahan. Tombaknya tertancap ke tanah, berdekatan dengan kepalanya, sementara Abner dan seluruh pasukan berbaring di sekelilingnya. Kata Abisai kepada Daud, “Pada hari ini Allah telah menyerahkan musuh tuan ke dalam tangan tuan. Sekarang, biarlah hamba tancapkan dia ke tanah dengan tombak ini dengan sekali tikam sahaja. Tidak perlulah hamba menyerangnya dua kali.” Tetapi kata Daud kepada Abisai, “Jangan binasakan dia. Siapakah yang dapat mencederakan orang yang dilantik TUHAN dan bebas daripada kesalahan?” Kata Daud lagi, “Demi TUHAN yang hidup, TUHAN sendirilah yang akan mengajar dia. Mungkin akan tiba ajalnya dan dia mati, atau dia ke medan perang lalu tumpas. TUHAN melarang aku membinasakan orang yang dilantik TUHAN. Sekarang, kita akan mengambil sahaja tombak yang ada berdekatan dengan kepalanya serta buyung air itu. Lalu kita pergi.”