1 SAMUEL 22:1-5 - Compare All Versions
1 SAMUEL 22:1-5 BM (Alkitab Berita Baik)
Kemudian Daud meninggalkan kota Gat dan bersembunyi di gua dekat kota Adulam. Apabila abang-abangnya dan semua anggota keluarganya mendengar bahawa dia berada di situ, mereka datang kepadanya. Semua orang yang tertindas, atau yang mempunyai hutang, atau yang berasa tidak puas, juga bergabung dengan Daud, lalu Daud menjadi pemimpin mereka. Jumlah pengikut Daud ada kira-kira empat ratus orang. Dari gua itu Daud pergi ke Mizpa di negeri Moab. Dia berkata kepada raja Moab, “Tolonglah benarkan ibu bapa hamba tinggal dengan tuanku sehingga hamba tahu kehendak Allah untuk hamba.” Oleh itu Daud membawa ibu bapanya kepada raja negeri Moab, dan mereka tinggal di sana selama Daud bersembunyi di gua. Kemudian pada suatu hari seorang nabi yang bernama Gad datang kepada Daud dan berkata, “Jangan tinggal di gua ini. Pergilah dengan segera ke tanah Yehuda.” Lalu Daud meninggalkan tempat itu dan pergi ke hutan Keret.
1 SAMUEL 22:1-5 AVB (Alkitab Versi Borneo)
Lalu pergilah Daud dari situ ke gua Adulam demi menyelamatkan diri. Maka para saudaranya dan seluruh keluarganya yang mendengar hal itu turut pergi ke sana untuk bersama-samanya. Semua orang yang ada dalam kesesakan, yang berhutang, dan yang sakit hati juga datang berkumpul bersama-samanya, dan dia menjadi ketua mereka. Ada kira-kira empat ratus orang lelaki yang menyertainya. Dari situ Daud berpindah ke Mizpa di Moab. Berkatalah dia kepada raja Moab, “Izinkanlah ayah dan ibu hamba datang ke mari dan tinggal dengan tuanku, sampai hamba mengetahui apa yang akan dilakukan Allah terhadap hamba.” Lalu dia membawa mereka menghadap raja Moab, dan mereka pun tinggal bersama dengannya selama Daud berada di kubu pertahanan. Akan tetapi, nabi Gad berkata kepada Daud, “Jangan tinggal di kubu pertahanan ini. Pergilah, masuklah ke Tanah Yehuda.” Maka pergilah Daud lalu masuk ke Hutan Keret.