1 SAMUEL 20:1-8

1 SAMUEL 20:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Daud lari dari Nayot dekat Rama, lalu pergi berjumpa dengan Yonatan. Dia bertanya kepada Yonatan, “Apakah yang sudah aku lakukan? Apakah kesalahanku? Apakah dosaku terhadap bapamu sehingga bapamu hendak membunuh aku?” Yonatan menjawab, “Jangan berkata begitu! Demi Allah, engkau tidak akan dibunuh! Bapaku selalu memberitahu aku segala rancangannya, yang mustahak mahupun yang tidak mustahak. Dia tidak pernah merahsiakan apa pun terhadap aku. Perkara itu tidak benar!” Daud menjawab, “Bapamu tahu engkau sangat mengasihi aku. Oleh itu bapamu tidak memberitahu engkau apa yang dicadangkannya, supaya engkau tidak bersedih. Aku bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa sesungguhnya hidupku diancam maut!” Yonatan berkata, “Aku akan melakukan apa saja permintaanmu.” Daud menjawab, “Begini, esok Perayaan Bulan Baru. Seharusnya aku makan bersama-sama raja. Tetapi jika kamu setuju, aku akan pergi bersembunyi di padang sampai lusa malam. Jika bapamu menanyakan sebabnya aku tidak hadir, katakanlah kepadanya bahawa aku sudah memohon izin daripadamu untuk segera pulang ke Betlehem, kerana di sana diadakan upacara mempersembahkan korban tahunan bagi semua anggota keluargaku. Jika raja berkata, ‘Baiklah,’ maka aku akan aman, tetapi jika raja murka, ketahuilah bahawa raja sudah mengambil keputusan untuk mencelakakan aku. Aku minta pertolonganmu kerana kita sudah mengikat perjanjian di hadapan TUHAN. Namun jika aku bersalah, bunuhlah aku, tetapi jangan serahkan aku kepada bapamu.”

1 SAMUEL 20:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka larilah Daud dari Nayot, dekat Rama lalu sampailah dia kepada Yonatan. Berkatalah dia, “Apakah yang telah kuperbuat? Apakah kesalahanku dan apa dosaku terhadap ayahmu, sehingga dia ingin sekali mencabut nyawaku?” Kata Yonatan kepadanya, “Sekali-kali hal itu tidak akan berlaku! Malahan engkau tidak akan mati. Ketahuilah, ayahku tidak akan melakukan satu hal pun, besar atau kecil, tanpa menyatakannya kepadaku. Mengapakah ayahku harus menyembunyikan hal ini daripadaku? Bukan begitunya hal ini!” Tetapi Daud bersumpah lagi, katanya, “Ayahmu tahu betul betapa sukanya engkau terhadapku. Jadi fikirnya, ‘Jangan sampai hal ini diketahui Yonatan sehingga bersusah hati pula dia.’ Akan tetapi, demi TUHAN yang hidup, dan demi hidupmu, hanya selangkah jarak di antara aku dengan maut.” Kata Yonatan kepada Daud, “Akan kulakukan untukmu apa sahaja kehendak hatimu.” Lalu kata Daud kepada Yonatan, “Esok bulan baru maka perlulah aku makan berhadapan dengan raja. Tetapi biarkanlah aku pergi menyembunyikan diri di padang sampai malam lusa. Jika ayahmu mencari aku, katakanlah, ‘Daud sungguh-sungguh meminta kepadaku supaya dia diizinkan pergi dengan segera ke Betlehem, kotanya. Di sana ada upacara korban tahunan bagi seluruh kaumnya.’ Jika begini katanya, ‘Baiklah,’ bererti hambamu ini selamat. Tetapi jika teramat sangat amarahnya, ketahuilah bahawa dia memang berazam untuk mencederakan aku. Jika demikian halnya, tunjukkanlah kasih kepada hambamu ini kerana engkau telah mengikat perjanjian dengan hambamu ini di hadapan TUHAN. Tetapi jika ada kesalahan padaku, biarlah engkau sendiri yang membunuh aku. Mengapakah engkau harus membawa aku kepada ayahmu?”