1 SAMUEL 19:1-10

1 SAMUEL 19:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Saul memberitahu Yonatan, puteranya, dan semua pegawainya bahawa baginda merancang untuk membunuh Daud. Tetapi Yonatan sangat mengasihi Daud, lalu dia berkata kepada Daud, “Bapaku berusaha untuk membunuh kamu. Esok pagi berhati-hatilah. Bersembunyilah di suatu tempat rahsia dan tinggallah di situ. Aku akan pergi ke padang bersama dengan bapaku dan berdiri dekat tempat kamu bersembunyi. Lalu aku akan bercakap dengan dia tentang maksudnya terhadapmu. Jika aku mengetahui apa-apa, aku akan memberitahu kamu.” Yonatan mengatakan hal-hal baik tentang Daud kepada Raja Saul, katanya, “Ayah, janganlah celakakan Daud, hamba ayah. Dia tidak berbuat kesalahan apa-apa terhadap ayah; sebaliknya, dia sudah berjasa banyak kepada ayah. Dia telah mempertaruhkan nyawanya ketika dia membunuh Goliat, dan TUHAN telah memberikan kemenangan yang besar kepada Israel. Ayah sendiri telah menyaksikannya, dan ayah berasa gembira pada waktu itu. Mengapakah sekarang ayah hendak menganiaya seorang yang tidak bersalah, dan mahu membunuh Daud tanpa sebab?” Raja Saul insaf setelah mendengar kata-kata Yonatan itu, lalu baginda bersumpah demi TUHAN bahawa baginda tidak akan membunuh Daud. Selepas itu Yonatan memanggil Daud dan memberitahunya semua percakapan tadi. Kemudian Yonatan membawa Daud kepada Raja Saul, lalu Daud berkhidmat kepada Raja Saul seperti dahulu. Kemudian perang dengan orang Filistin berlaku semula. Daud menyerang dan mengalahkan orang Filistin sama sekali sehingga mereka lari. Pada suatu hari Raja Saul sedang duduk sambil memegang tombak di rumah. Tiba-tiba Raja Saul dirasuk lagi oleh roh jahat yang disuruh oleh TUHAN. Pada masa itu Daud berada di situ dan sedang memainkan kecapinya. Raja Saul cuba menancapkan tombak itu kepada Daud yang berada dekat dinding, tetapi Daud mengelak, sehingga tombak itu tertancap pada dinding. Daud lari untuk menyelamatkan diri.

1 SAMUEL 19:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Saul mengatakan kepada Yonatan, anaknya, dan kepada semua pegawainya bahawa Daud harus dibunuh. Akan tetapi, Yonatan anak Saul sangat suka pada Daud. Oleh itu, Yonatan memberitahukan hal itu kepada Daud. Katanya, “Saul, ayahku, berikhtiar untuk membunuh engkau. Sekarang, berjaga-jagalah. Esok pagi, diamlah di sebuah tempat terlindung dan bersembunyilah. Aku akan keluar dan berdiri di sisi ayahku di padang, tempat engkau berada. Aku akan berbicara mengenai engkau kepada ayahku, dan hasilnya akan kukhabarkan kepadamu.” Yonatan mengatakan hal yang baik tentang Daud kepada Saul, ayahnya. Katanya kepadanya, “Janganlah Raja berbuat dosa terhadap hambanya, iaitu Daud, kerana dia tidak berbuat dosa terhadap engkau, dan segala sesuatu yang dikerjakannya pun sangat baik bagimu. Dia telah mempertaruhkan nyawanya dan menumpaskan orang Filistin itu, sehingga TUHAN mengurniakan kemenangan yang besar bagi seluruh Israel. Engkau sendiri telah menyaksikannya dan bersukacita kerananya. Mengapakah kini engkau hendak berbuat dosa terhadap orang yang tidak bersalah seperti Daud dengan membunuhnya tanpa sebab?” Saul mendengar kata-kata Yonatan, dan dia pun bersumpah, “Demi TUHAN yang hidup, dia tidak akan dibunuh.” Yonatan memanggil Daud dan memberitahukan kepadanya semua hal itu. Lalu Yonatan membawa Daud untuk menghadap Saul, dan Daud berkhidmat kepadanya seperti sediakala. Kemudian peperangan tercetus lagi. Daud maju memerangi orang Filistin dan mengalahkan mereka dan orang Filistin ditumpaskan dengan sedemikian hebatnya sehingga larilah kesemuanya dari hadapannya. Namun demikian, roh jahat yang diizinkan TUHAN datang lagi kepada Saul ketika dia sedang duduk di rumahnya dengan tombaknya di tangannya. Ketika Daud sedang memetik kecapi, tiba-tiba Saul berusaha menancapkan Daud ke dinding dengan tombak itu. Akan tetapi, Daud mampu mengelak sehingga tombak Saul menikam dinding sahaja. Maka larilah Daud menyelamatkan diri pada malam itu.