1 SAMUEL 1:1-10
1 SAMUEL 1:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada seorang lelaki bernama Elkana. Dia daripada suku Efraim yang tinggal di kota Rama, di kawasan perbukitan Efraim. Elkana ialah anak Yeroham dan cucu Elihu. Elkana daripada keluarga Tohu, salah satu keluarga daripada puak Zuf. Elkana mempunyai dua orang isteri, Hana dan Penina. Penina mempunyai anak tetapi Hana tidak. Tiap-tiap tahun Elkana berangkat dari Rama dan pergi ke Silo untuk beribadat dan mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Di Silo, Hofni dan Pinehas, iaitu anak-anak Eli, menjadi imam-imam TUHAN. Tiap-tiap kali Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan satu bahagian daging korban itu kepada Penina dan satu bahagian kepada setiap anaknya. Walaupun Elkana sangat mencintai Hana, Elkana memberi dia satu bahagian daging sahaja, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepadanya. Hana selalu disakiti hati dan dihina oleh Penina, madunya itu, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepada Hana. Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa. Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, “Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu.
1 SAMUEL 1:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ada seorang lelaki suku Efraim bernama Elkana anak Yeroham anak Elihu anak Tohu anak Zuf dari Ramataim-Zofim di pergunungan Efraim. Dia beristeri dua, seorang bernama Hana dan yang seorang lagi bernama Penina. Penina mempunyai anak, tetapi Hana tidak. Setiap tahun lelaki itu pergi dari kotanya untuk beribadat dan mempersembahkan korban di hadapan TUHAN alam semesta di Silo. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, ialah imam TUHAN di sana. Pada hari Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan bahagian-bahagian korban itu kepada Penina, isterinya, serta kepada semua anaknya baik lelaki mahupun perempuan. Dia memberikan bahagian dua kali ganda kepada Hana kerana dia mengasihinya meskipun TUHAN menutup rahim isterinya itu. Hana sering disakiti dan dihina oleh madunya, Penina, kerana TUHAN menutup rahim Hana. Demikianlah keadaan itu berlangsung tahun demi tahun. Setiap kali Hana pergi ke Bait TUHAN, madunya menyakiti hatinya sehingga dia menangis dan tidak mahu makan. Elkana, suaminya, berkata kepadanya, “Hana, mengapakah engkau menangis? Mengapakah engkau tidak mahu makan? Mengapakah engkau susah hati? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” Ada sekali, setelah mereka selesai makan dan minum di Silo, Hana pun berdiri. Pada ketika itu Imam Eli sedang duduk di sebuah kerusi berdekatan dengan ambang pintu Bait Suci TUHAN. Dengan hati yang pedih, berdoalah Hana kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu.