1 PETRUS 3:8-16

1 PETRUS 3:8-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah kesimpulannya: Hendaklah kamu semua seia sekata dan seperasaan. Hendaklah kamu saling mengasihi seperti orang yang bersaudara, dan hendaklah kamu saling berbelas kasihan dan bersikap rendah hati. Janganlah balas kejahatan dengan kejahatan, atau cercaan dengan cercaan; sebaliknya balaslah kejahatan dengan berkat daripada Allah. Kamu harus berbuat demikian kerana Allah menjanjikan berkat, ketika Dia memanggil kamu. Di dalam Alkitab tertulis, “Sesiapa yang hendak menikmati hidup dan yang ingin mengalami masa yang baik, tidak boleh memfitnah orang dan tidak boleh berdusta. Dia tidak boleh melakukan kejahatan lagi, tetapi berbuat baik; dia harus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mendapat perdamaian. Berbuatlah demikian, kerana Tuhan sentiasa memperhatikan orang yang melakukan kehendak-Nya, Dia sentiasa mendengarkan doa mereka; tetapi Tuhan menentang orang yang melakukan kejahatan.” Siapakah akan menyusahkan kamu jika kamu ingin sekali berbuat baik? Tetapi meskipun kamu harus menanggung penderitaan kerana melakukan perkara yang baik, kamu berbahagia! Janganlah takut akan sesiapa pun dan janganlah khuatir. Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat. Hendaklah hati nurani kamu murni, supaya apabila kamu difitnah kerana hidup dengan baik sebagai pengikut Kristus, orang yang memfitnah kamu itu akan menjadi malu.

1 PETRUS 3:8-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kasudahannya, biarlah kamu skalian satu hati, mŭnaroh kasihan sa’orang akan sa’orang, bŭrkasih kasihanlah spŭrti saudara bŭrsaudara, sayangkanlah sŭrta bŭradap: Janganlah balas jahat dŭngan jahat, atau maki dŭngan maki: mŭlainkan balas dŭngan lawannya, iya itu mintakan bŭrkat; sŭbab kamu tŭlah mŭngatahui dalam hal dŭmkianlah kamu tŭlah dijŭmpot, supaya kamu mŭmpusakai bŭrkat. Maka barang siapa yang suka hidop, dan mŭndapat hari hari baik, maka biarlah ditahaninya lidahnya deripada kajahatan, dan bibirnya jangan bŭrtutor tipu daya: Maka biarlah iya mŭnjauhkan kajahatan itu, dan bŭrbuat baik; biarlah mŭnchari sŭjahtra, sŭrta mŭlakukan akan dia. Kŭrna mata Tuhan itu ada diatas orang yang bŭnar, dan tŭlinganya pun ada tŭrbuka kapada doa doanya: tŭtapi muka Tuhan itu mŭlawan akan orang yang bŭrbuat jahat. Siapakah yang dapat mŭmbinchanakan kamu, jikalau kamu mŭnurot pŭrkara yang baik? Tŭtapi jikalau kamu mŭrasai sŭngsara sŭbab kabŭnaran, slamatlah kamu: maka janganlah takot ugotnya, atau janganlah bŭrsusah; Tŭtapi suchikanlah Tuhan Allah dalam hatimu, dan sŭdialah slalu akan mŭmbri jawab pada sagala orang yang bŭrtanya pada kamu satu sŭbab derihal harap yang ada dalammu itu dŭngan lŭmah lŭmbut dan takot. Sŭbab adalah angan angan yang baik padamu; maka apabila diumpat ulih marika itu akan dikau spŭrti orang orang yang bŭrbuat jahat, bulihlah marika itu mŭnjadi malu sŭbab mŭnchŭlakan klakuanmu yang baik itu dalam Almasih.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami