1 RAJA-RAJA 18:41-45
1 RAJA-RAJA 18:41-45 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Elia berkata kepada Raja Ahab, “Pergilah makan, kerana hamba mendengar deru hujan yang segera datang.” Sementara Raja Ahab pergi makan, Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana dia bersujud sampai ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya. Dia berkata kepada hambanya, “Naiklah, lihatlah ke arah laut.” Hamba itu pergi, lalu kembali dan berkata, “Saya tidak nampak apa-apa.” Sebanyak tujuh kali, Elia menyuruh dia pergi melihat ke arah laut. Apabila dia kembali pada kali ketujuh, dia berkata, “Saya nampak awan sekecil tapak tangan orang naik dari laut.” Elia menyuruh hambanya, “Pergilah menghadap Raja Ahab. Suruhlah baginda mengendarai kereta kudanya dan berangkat pulang, sebelum baginda dihalangi hujan.” Tidak lama kemudian, langit penuh dengan awan hitam dan angin kencang pun mula bertiup, lalu hujan lebat turun. Raja Ahab menaiki kereta kudanya lalu pergi ke Yizreel.
1 RAJA-RAJA 18:41-45 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian berkatalah Elia kepada Ahab, “Pergilah, makan dan minumlah, kerana sudah terdengar bunyi derau hujan.” Ahab pun pergi untuk makan dan minum, tetapi Elia naik ke puncak Gunung Karmel, lalu membongkok ke tanah dengan mukanya di antara kedua-dua lututnya. Katanya kepada pelayannya, “Naiklah ke atas, pandang ke arah laut.” Pelayan itu naik, melayangkan matanya, dan berkata, “Tidak ada apa-apa!” Elia berkata, “Naiklah lagi” sampai tujuh kali. Pada kali ketujuh pelayan itu berkata, “Ada awan kecil sebesar telapak tangan muncul dari laut.” Kata Elia, “Pergilah, katakan kepada Ahab, ‘Pasanglah ratamu dan turunlah, supaya engkau tidak tertahan oleh hujan.’ ” Seketika sahaja langit menjadi gelap oleh awan dan angin, lalu turunlah hujan lebat. Ahab menaiki ratanya lalu pergi ke Yizreel.