1 KORINTUS 6:1-8
1 KORINTUS 6:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika seseorang di kalangan kamu bersengketa dengan saudara seiman, dia seharusnya tidak membawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah. Dia harus meminta umat Allah menyelesaikan perkara itu. Kamu tentu tahu bahawa umat Allah akan mengadili dunia ini! Jika kamu akan mengadili dunia ini, kamu tentu dapat mengadili perkara yang kecil. Kamu tentu tahu bahawa kita akan mengadili malaikat-malaikat! Oleh itu kita harus dapat mengadili perkara kehidupan sehari-hari! Jika timbul perkara seperti itu, adakah kamu akan mengemukakannya kepada orang yang sama sekali tidak mempunyai kedudukan di kalangan jemaah? Sungguh memalukan! Setidak-tidaknya tentu ada seorang di kalangan kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan persengketaan antara sesama orang Kristian. Tetapi sebaliknya, seorang Kristian membawa seorang saudara seiman ke mahkamah, dan meminta orang bukan Kristian menyelesaikan perkara mereka. Sebenarnya persengketaan di kalangan kamu yang memerlukan penyelesaian mahkamah, menunjukkan bahawa kamu tidak hidup berdasarkan ajaran Kristus. Lebih baiklah kamu diperlakukan dengan tidak adil atau dirugikan. Tetapi kamu sendiri yang memperlakukan orang lain dengan tidak adil, dan kamu sendiri yang merugikan orang lain. Bahkan kamu melakukannya terhadap saudara seiman!
1 KORINTUS 6:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
BRANIKAH barang sa’orang deripada kamu, yang ada suatu bichara mŭlawan sa’orang handak pŭrgi mŭndawa dihadapan orang lalim, tŭtapi bukan dihadapan orang orang salih? Maka tiadakah kamu kŭtahui bahwa orang salih itu kŭlak mŭnghukumkan dunia ini? maka jikalau kiranya dunia ini tŭrhukum ulih kamu, maka kamu ini tiadakah layak mŭnghukumkan pŭrkara yang tŭrkŭchil itu? Maka tiadakah kamu kŭtahui, bahwa kami kŭlak mŭnghukumkan sagala mŭliekat? maka brapakah lebihnya atas pŭrkara dunia ini? Maka jikalau kiranya ada kapadamu barang pŭrkara da’wa deri hal dunia ini, maka handaklah kamu jadikan hakim akan orang yang tŭrhina skalipun dalam sidang jŭmaah itu. Aku bŭrkata ini mŭmbri malu pada kamu. Iyakah bŭgitu, tiadakah diantara kamu sa’orang yang bŭrakal? dan tiadakah sa’orang jua pun yang akan dapat mŭnjadi hakim antara saudara saudaranya? Maka saudara mŭndawa akan saudaranya, itupun dihadapan orang yang tiada bŭriman. Maka sŭbab itu tŭntulah ada salah diantara kamu, sŭbab kamu pŭrgi mŭndawa sa’orang dŭngan sa’orang. Maka mŭngapakah tiada kamu tŭrlebih baik tahan salah, dan mŭngapakah tiada kamu tŭrlebih baik mŭrasa diri kamu diannyayakan? Sungguh kamulah bŭrsalah, dan mŭnganyayai, itupun akan saudara saudaramu.
1 KORINTUS 6:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekiranya salah seorang antara kamu bertikai dengan yang lain, wajarkah dia bawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah dan bukan kepada orang salih? Tidakkah kamu tahu bahawa orang salih akan mengadili dunia ini? Jika kamu mengadili dunia ini, tidak sanggupkah kamu mengadili perkara yang kecil? Tidakkah kamu tahu bahawa kita akan mengadili para malaikat? Apatah lagi hal ehwal hidup sehari-hari? Adakah kamu akan membawa perkara begitu ke hadapan orang yang langsung tidak ada kedudukan dalam kalangan jemaah? Alangkah memalukan! Tentu ada seorang daripada kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan pertikaian antara saudara seiman. Tetapi tidak, seorang saudara tergamak mendakwa saudara yang lain, justeru di hadapan orang yang tidak percaya! Dengan adanya pendakwaan sesama kamu, jelaslah bahawa kamu sudah ditewaskan. Daripada yang demikian, bukankah lebih baik kamu dipersalah? Bukankah lebih baik kamu dirugikan. Sebaliknya kamu sendiri yang bersalah dan merugikan saudara seimanmu sendiri!