1 KORINTUS 2:1-10

1 KORINTUS 2:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

Saudara-saudaraku! Semasa aku datang kepada kamu untuk memberitakan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia, aku tidak menggunakan kebijaksanaan dunia ini ataupun kata-kata yang susah difahami. Aku berbuat demikian kerana ketika aku bersama-sama kamu, aku mengambil keputusan untuk memberitakan Yesus Kristus sahaja, terutama kematian-Nya pada kayu salib. Oleh itu, ketika aku datang kepada kamu, aku lemah dan gementar kerana ketakutan. Aku tidak mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik itu dengan kata-kata menurut kebijaksanaan manusia. Tetapi aku menyampaikannya dengan cara yang membuktikan bahawa Roh Allah berkuasa. Oleh itu, kepercayaan kamu kepada Kristus tidak berdasarkan kebijaksanaan manusia, tetapi berdasarkan kuasa Allah. Walaupun demikian, aku juga berkata-kata tentang kebijaksanaan kepada mereka yang mempunyai kehidupan rohani yang matang. Tetapi kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia ini, ataupun kebijaksanaan roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini. Kekuasaan roh-roh itu akan lenyap. Kebijaksanaan yang aku sampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah. Kebijaksanaan itu tidak diketahui oleh umat manusia, tetapi Allah sudah menyediakannya untuk kebahagiaan kita, sebelum Dia menjadikan dunia ini. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Seandainya roh-roh itu mengetahuinya, tentu roh-roh itu tidak akan menyalibkan Tuhan yang mulia. Tetapi seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Apa yang belum pernah dilihat atau didengar, atau terlintas dalam fikiran manusia, itulah yang disediakan oleh Allah untuk orang yang mengasihi Dia.” Tetapi melalui Roh-Nya, Allah menyatakan rancangan-Nya kepada kita. Roh Allah menyelidiki segala sesuatu, bahkan rancangan Allah yang paling tersembunyi sekalipun.

1 KORINTUS 2:1-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

HIE sagala saudaraku, adapun apabila aku tŭlah sampie kapadamu, bukannya kudatang dŭngan kaelokkan pŭrkataan atau hikmat, akan mŭnyatakan kapadamu rahsia Allah. Kŭrna aku sudah mŭnŭntukan tiada aku handak mŭngatahui barang pŭrkara diantara kamu, mŭlainkan Isa Almasih sahja, iya itu yang tŭlah disalibkan. Maka aku tŭlah bŭrsama sama dŭngan kamu dalam kalŭmahan, dan dalam kŭtakotan dan dalam banyak gŭmŭntar. Adapun pŭrkataanku dan pŭngajaranku bukan dŭngan pŭrkataan yang mŭmbujok chara hikmat manusia, mŭlainkan dŭngan pŭrtunjokkan Roh dan kwasa adanya. Supaya kŭlak jangan imanmu itu bŭrgantong kapada hikmat manusia, mŭlainkan kapada kwasa Allah. Akan tŭtapi kita mŭngatakan hikmat diantara orang yang samporna: tŭtapi bukannya hikmat dunia ini, dan bukannya spŭrti hikmat pŭmrentah dunia ini, yang akan binasa. Tŭtapi kita mŭngatakan hikmat Allah yang dalam rahsia, mŭskipun hikmat yang tŭrsŭmbunyi, yang tŭlah ditŭntukan Allah tŭrdahulu deripada kajadian dunia, akan mŭnjadi kamulian bagie kami. Iya itu yang tiada dikŭtahui ulih barang pŭmrentah dunia ini: kŭrna jikalau kiranya dikŭtahui ulih marika itu akan dia, nŭschaya tiadalah jadi marika itu mŭnsalibkan Tuhan pohon kamulian itu. Tŭtapi adalah spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa bŭlom ada mata yang mŭlihat, atau tŭlinga yang mŭnŭngar, atau masok kŭdalam hati barang manusia, akan pŭrkara yang tŭlah disŭdiakan Allah bagie sagala orang yang mŭngasihi akan dia. Tŭtapi pŭrkara itu tŭlah dinyatakan Allah kapada kami dŭngan Rohnya: kŭrna Roh itu ada sŭlidekkan akan sagala sŭsuatu, bahkan, sagala pŭrkara Allah yang dalam dalam pun.

1 KORINTUS 2:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Saudara-saudaraku! Ketika aku datang kepadamu untuk menyampaikan rahsia Allah, aku tidak datang dengan kata-kata indah atau kebijaksanaan. Sebabnya sewaktu aku bersamamu, aku telah bertekad untuk menyampaikan berita tentang Yesus Kristus semata-mata, khususnya tentang kematian-Nya di kayu salib. Oleh itu, ketika aku mendekatimu, aku daif dan gementar ketakutan. Dan perkhabaran serta pengajaranku tidak disampaikan dengan kata-kata hikmah yang meyakinkan. Sebaliknya aku menyampaikannya secara menunjukkan kuasa Roh. Dengan demikian, imanmu bukanlah berasaskan kebijaksanaan manusia, tetapi berasaskan kuasa Allah. Namun begitu, aku berkata juga tentang kebijaksanaan kepada mereka yang sudah matang kehidupan rohani. Kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia, atau kebijaksanaan para pemerintah dunia ini, kerana kuasa mereka akan punah. Kebijaksanaan yang kusampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah, di luar pengetahuan manusia, yang telah diwujudkan-Nya untuk kemuliaan kita sebelum Dia mencipta dunia ini. Para pemerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Kalaulah mereka tahu, mereka tidak akan menyalib Tuhan Yang Mulia. Sebagaimana telah tersurat: “Apa yang belum pernah dilihat oleh mata, atau didengar oleh telinga, atau timbul dalam hati manusia, itulah yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi-Nya.” Akan tetapi kepada kita, Allah menyatakannya melalui Roh-Nya, kerana Roh itu yang menyoroti segala-galanya, termasuk rahsia Allah yang paling dalam.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami