1 KORINTUS 15:12-26

1 KORINTUS 15:12-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Kami mengisytiharkan bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Mengapa beberapa orang di kalangan kamu berkata bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan? Jika orang mati tidak dibangkitkan, hal itu bererti Kristus pun tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka. Hal itu juga bererti kami berdusta tentang Allah, kerana kami berkata bahawa Allah sudah membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika memang benar orang mati tidak dibangkitkan, maka Allah tidak membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa. Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan. Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini! Tetapi sebenarnya Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Itulah jaminan bahawa mereka yang sudah mati akan dibangkitkan juga. Hal itu demikian kerana sebagaimana kematian datang ke dunia melalui satu orang, begitu juga kebangkitan daripada kematian diberikan melalui satu orang. Sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus. Masing-masing akan dihidupkan semula menurut gilirannya: mula-mula Kristus; kemudian mereka yang menjadi milik-Nya akan dihidupkan semula ketika Kristus datang lagi. Kemudian tibalah akhir zaman. Pada waktu itu Kristus akan menaklukkan semua pemerintah, penguasa dan pemimpin, lalu Kristus akan menyerahkan kekuasaan-Nya sebagai raja kepada Allah, Bapa kita. Kristus harus terus memerintah sehingga Allah menaklukkan semua musuh Kristus di bawah kekuasaan Kristus. Musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian.

1 KORINTUS 15:12-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Adapun jikalau Almasih itu dimashorkan, bahwa iya tŭlah dibangkitkan deripada matinya, maka bagimanakah garangannya kata sŭtŭngah orang diantara kamu tiada kŭbangkitan orang mati? Maka jikalau kiranya tiada kŭbangkitan orang mati itu, nŭschaya Almasih pun tiadalah bangkit. Shahadan jikalau Almasih itu tiada bangkit, nŭschaya sia sialah adanya pŭngajaran kami, dan lagi sia sialah adanya iman kamu pun. Bahkan, maka kami didapati mŭnjadi saksi saksi dusta kapada Allah; sŭbab kami tŭlah mŭngaku kŭrna Allah, bahwasanya iya tŭlah mŭmbangkitkan Almasih, yang tiada dibangkitkannya, jikalau sungguh orang mati itu tiada bŭrbangkit. Kŭrna jikalau kiranya orang mati itu tiada bŭrbangkit, nŭschaya Almasih pun tiadalah bŭrbangkit: Dan jikalau kiranya Almasih itu tiada dibangkitkan, nŭschaya sia sialah iman kamu; dan tinggallah lagi kamu dalam dosamu juga. Maka orang orang itupun yang tŭlah mangkat bŭradu dalam Almasih binasalah. Maka jikalau dalam hayat skarang ini sahja kami mŭnaroh harap akan Almasih, nŭschaya kamilah orang kŭna chilaka tŭrlebih deripada sagala manusia adanya. Tŭtapi skarang Almasih itu sudah bŭrbangkit deripada matinya, akan mŭnjadi buah buahan bungaran bagie sagala orang yang tŭlah mangkat bŭradu. Kŭrna sŭbab sa’orang manusialah maut itu tŭlah datang, dŭmkianlah pula ulih sŭbab sa’orang manusia juga, kŭbangkitan deripada mati itu tŭlah datang. Kŭrna ulih sŭbab Adam sagala manusia tŭlah mati, maka dŭmkian lagi ulih sŭbab Almasih skaliannya itu tŭlah dihidopkan pula. Tŭtapi masing masing dŭngan pŭratorannya sŭndiri; adapun Almasih buah bungaran itu, kumdian deripadanya kŭlak sagala orang yang mŭnjadi milik Almasih pada hari kŭdatangannya. Kumdian akan jadi kasudahannya, apabila disŭrahkannya krajaan pada Allah, iya itu Ayah; maka apabila sudah iya mŭmbinasakan sagala prentah, dan kabŭsaran, dan pŭngwasaan. Kŭrna ta’dapat tiada iyalah akan mŭmrentah sahingga ditarohkannya sagala sŭtrunya itu kabawah kakinya. Adapun sŭtru yang kasudahan itu kŭlak akan dibinasakan, iya itulah maut.

1 KORINTUS 15:12-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah kami khabarkan kepadamu tentang Kristus yang dibangkitkan daripada kematian, mengapakah ada dalam kalanganmu yang berkata bahawa tiada kebangkitan selepas mati? Jika tiada kebangkitan selepas mati, maka Kristus juga tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan, maka sia-sialah perkhabaran kami dan sia-sialah imanmu. Kami juga ternyata sebagai saksi dusta kepada Allah, kerana kami telah membuat kesaksian bahawa Allah telah membangkitkan Kristus, sedangkan Allah tidak membangkitkan-Nya, kalaulah benar tiada kebangkitan selepas mati; kerana jika tiada kebangkitan selepas mati, maka Kristus tidaklah dibangkitkan. Dan jika Kristus tidak dibangkitkan, sia-sialah imanmu; dan kamu masih bergelumang dosa! Orang yang mati dalam Kristus juga tetap binasa. Sekiranya dalam hidup ini sahaja kita mempunyai harapan dalam Kristus, kitalah yang paling malang antara manusia! Tetapi Kristus memang telah dibangkitkan daripada kematian. Dialah yang pertama daripada kalangan orang yang telah mati. Oleh sebab satu orang, kematian berlaku; dan oleh sebab satu orang juga, kebangkitan orang mati berlaku; kerana sebagaimana dalam Adam semua manusia mati, demikian juga dalam Kristus semua manusia akan dihidupkan semula; masing-masing mengikut aturannya: Pertama Kristus, kemudian mereka yang telah menjadi milik-Nya, pada saat kedatangan-Nya kelak. Selepas itu datanglah pengakhiran, ketika Dia menyerahkan kerajaan kepada Allah Bapa, ketika Dia melenyapkan semua pemerintahan, semua kewibawaan dan semua kekuasaan; kerana Dia harus memerintah sehingga semua musuh telah diletakkan-Nya di bawah kaki-Nya. Musuh terakhir yang akan dilenyapkan ialah Maut.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami