1 KORINTUS 12:4-31
1 KORINTUS 12:4-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama. Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama. Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing. Bagi kebaikan kita semua, Allah memberikan bukti bahawa Roh-Nya ada pada setiap orang. Ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan. Ada orang lain yang dapat menyampaikan pengetahuan tentang Allah. Tetapi kebolehan-kebolehan itu diberikan oleh Roh yang sama. Kepada yang lain, Roh yang sama mengurniakan kepercayaan yang luar biasa kepada Kristus, sedangkan kepada yang lain pula Roh Allah mengurniakan kuasa untuk menyembuhkan orang sakit. Kepada yang lain, Roh Allah mengurniakan kuasa untuk melakukan mukjizat, dan kepada yang lain pula, Roh itu memberikan kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Kepada yang lain pula, Roh Allah mengurniakan kebolehan untuk membeza-bezakan kurnia yang daripada Roh Allah dan yang bukan daripada Roh Allah. Ada pula yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, dan ada juga yang dapat menerangkan erti bahasa-bahasa itu. Tetapi semuanya dilakukan oleh Roh yang sama juga. Dia memberi setiap orang kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya sendiri. Kristus bagaikan tubuh manusia, yang mempunyai banyak anggota. Tubuh itu satu tetapi terdiri daripada banyak anggota. Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita. Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya. Kaki masih sebahagian daripada tubuh, walaupun kaki mungkin berkata, “Kerana aku bukan tangan, aku bukan bahagian daripada tubuh.” Telinga masih sebahagian daripada tubuh, walaupun telinga mungkin berkata, “Kerana aku bukan mata, aku bukan bahagian daripada tubuh.” Bagaimanakah tubuh boleh mendengar, jika seandainya seluruh tubuh itu mata sahaja? Bagaimanakah tubuh boleh menghidu, jika seandainya seluruh tubuh itu telinga sahaja? Tetapi seperti yang kita ketahui, Allah meletakkan tiap-tiap anggota tubuh yang berlainan itu di tempat yang dikehendaki-Nya. Tidak mungkin ada tubuh, jika semuanya hanya satu anggota. Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh. Dengan demikian mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukan kamu!” Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukan kamu!” Sebaliknya kita amat memerlukan anggota-anggota tubuh yang dianggap lemah. Anggota tubuh yang kita anggap tidak begitu dihargai, kita berikan lebih banyak penghargaan. Anggota tubuh yang tidak selayaknya dipercakapkan, kita perlakukan dengan penuh kesopanan. Anggota-anggota tubuh yang sudah kelihatan cantik tidak memerlukan perhatian. Allah sudah mengatur tubuh kita sedemikian rupa sehingga anggota tubuh yang kita anggap kurang dihargai mendapat lebih banyak penghargaan. Dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan. Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga. Jika satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita. Kamu semua tubuh Kristus, dan setiap orang sebahagian daripada tubuh itu. Di kalangan jemaah, Allah sudah memberi semua orang kedudukan masing-masing. Pertama rasul-rasul, kedua nabi-nabi, dan ketiga guru-guru, kemudian mereka yang melakukan mukjizat, lalu mereka yang diberikan kurnia untuk menyembuhkan orang sakit, atau untuk menolong orang lain, atau untuk menjadi pemimpin, ataupun untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib. Mereka bukan semuanya rasul, atau nabi, ataupun guru. Bukan semuanya mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat, atau untuk menyembuhkan orang, atau untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, ataupun untuk menerangkan erti apa yang dikatakan dalam bahasa-bahasa itu. Oleh itu, hendaklah kamu berhasrat untuk memperoleh kurnia-kurnia yang lebih utama. Tetapi aku akan menunjukkan kamu jalan yang terbaik.
1 KORINTUS 12:4-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka skarang pun adalah bŭrjŭnis jŭnis anugrah, tŭtapi deripada suatu Roh juga. Dan adalah bŭrjŭnis jŭnis jawatan, tŭtapi satu Tuhan juga adanya. Dan adalah bŭrjŭnis jŭnis pŭkŭrjaan, tŭtapi Allah suatu juga yang mŭnjalankan sagala pŭrkara itu dalam sŭmŭsta skalian. Tŭtapi kŭnyataannya Roh itu dikurniakan kapada masing masing orang, supaya mŭndatangkan fiedah kapada skalian. Kŭrna pada sa’orang dikurniakan ulih Roh pŭrkataan hikmat, dan pada yang lain pŭrkataan pŭngŭtahuan, ulih Roh itu juga. Dan pada sa’orang iman, ulih Roh itu juga; dan pada yang lain bŭbrapa kwasa mŭnyŭmbohkan, ulih Roh itu juga: Dan pada sa’orang bŭbrapa pŭkŭrjaan ajaib, dan pada yang lain nabuat; dan pada sa’orang pŭrtunjokkan rahsia roh; dan pada yang lain bŭrjŭnis jŭnis bahsa; pada sa’orang mŭntŭrjŭmahkan bahsa bahsa Tŭtapi sŭmua pŭrkara ini diadakan ulih suatu Roh itu juga, mŭmbahgikan pada masing masing sŭkŭdar kahandaknya. Kŭrna spŭrti tuboh itu suatu, dan anggotanya ada banyak, maka skalian anggota tuboh yang suatu itu sungguh pun banyak adanya, suatu juga tubohnya; maka dŭmkianlah juga Almasih. Kŭrna kami skalian sudah dibaptisakan ulih suatu Roh juga dijadikannya suatu tuboh; baik orang Yahudi, baik orang Grika, baik abdi, baik mŭrdehka, dan skalian sudah dibri minum suatu roh juga. Kŭrna tuboh itu bukannya satu anggota sahja, mŭlainkan banyak. Maka jikalau kiranya kaki itu bŭrkata, Bahwa sŭbab aku ini bukannya tangan, bukannyalah aku deripada tuboh: maka deri sŭbab itukah iya bukannya deripada tuboh? Dan jikalau kiranya tŭlinga bŭrkata, Sŭbab aku ini bukannya mata, bukannyalah aku deripada tuboh: maka deri sŭbab itukah iya bukannya deripada tuboh? Maka jikalau kiranya sŭgŭnap tuboh itu mŭnjadi mata, mana pula pŭnŭngar? Dan jikalau sŭgŭnap tuboh itu pŭnŭngar, mana pula pŭnchium? Tŭtapi skarang Allah tŭlah mŭlŭtakkan sagala anggota itu masing masing dalam tuboh spŭrti yang dikahandakinya. Maka jikalau kiranya sŭmua itu mŭnjadi suatu anggota, mana pula tuboh? Adapun skarang ini adalah anggota itu banyak, tŭtapi tuboh itu suatu juga adanya. Maka mata itu tiada bulih bŭrkata kapada tangan, Bahwa tiada aku bŭrhajat akan dikau; atau kata kŭpala kapada kaki, Bahwa tiada aku bŭrhajat akan dikau. Bahkan, maka tŭrlebih pulah anggota anggota tuboh yang dikirakan tŭrlebih lŭmah adanya, maka iya itulah ada bŭrguna juga. Maka anggota anggota tuboh yang kita kirakan kurang mulia, maka pada dia itu juga kita mŭngadakan banyak kamuliaan; dan anggota kita yang korang mulia itu, maka iya itulah yang bŭrulih kamuliaan. Kŭrna sagala anggota kami yang mulia itu ta’usahlah dimuliakan; tŭtapi Allah tŭlah mŭmatutkan tuboh itu, sŭrta mŭmbri lebih mulia kapada anggota yang korang itu. Supaya jangan kŭlak bŭrchidra dalam tuboh itu, tŭtapi sagala anggota itu patut dipliharakan bŭrsama sama spŭrti yang lain. Maka jikalau suatu anggota itu mŭrasai sakit, maka sagala anggota pun mŭrasai sakit juga; dan jikalau suatu anggota dipŭrmuliakan, maka sagala anggota pun gŭmarlah juga adanya. Maka skarang kamulah dia tuboh Almasih adanya, dan anggota anggota juga bŭrmasing masing. Arkian maka Allah sudah mŭngangkat bŭbrapa orang dalam sidang jŭmaah, pŭrtama tama rasol rasol, kaduanya nabi nabi, katiganya guru guru, kumdian deripada itu bŭbrapa ajaib, kumdian pula bŭbrapa kwasa mŭnyŭmbohkan, bŭbrapa pŭnulongan, bŭbrapa prentah, dan bŭrjŭnis jŭnis bahsa. Sŭmua itu rasol rasolkah? sŭmua itu nabi nabikah? sŭmua itu guru gurukah? sŭmua itu mŭngadakan ajaibkah? Sŭmua tŭlah mŭndapat kwasa mŭnyŭmbohkankah? Sŭmua bŭrkata kata dŭngan bŭrbagie bagie bahsakah? Sŭmua mŭntŭrjŭmahkan bahsa bahsakah? Tŭtapi inginlah dŭngan sungguh sungguh akan anugrah yang tŭrlebih baik, akan tŭtapi aku akan mŭnunjokkan kapada kamu suatu jalan yang tŭrlebih indah adanya.
1 KORINTUS 12:4-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh. Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan. Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah yang esa mengerjakan semuanya. Tetapi Roh Kudus memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua. Ada yang diberi kurnia oleh Roh Kudus untuk berbicara dengan penuh hikmah, dan ada pula yang dikurniai Roh Kudus untuk berbicara tentang pengetahuan. Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama. Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu. Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Kuduslah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya. Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus. Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh — baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka — dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama. Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota. Kalaulah kaki berkata, “Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh? Dan kalaulah telinga berkata, “Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh? Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan? Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya. Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh? Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh. Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukanmu,” kepala tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukanmu.” Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan. Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan. Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya, supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain. Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita. Kamu adalah tubuh Kristus, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu. Allah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberi pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah. Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi nabi? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat? Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasa-bahasa itu? Oleh itu, berusahalah kamu bersungguh-sungguh untuk mendapat kurnia-kurnia yang lebih besar. Aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lebih baik.