1 KORINTUS 12:14-26

1 KORINTUS 12:14-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya. Kaki masih sebahagian daripada tubuh, walaupun kaki mungkin berkata, “Kerana aku bukan tangan, aku bukan bahagian daripada tubuh.” Telinga masih sebahagian daripada tubuh, walaupun telinga mungkin berkata, “Kerana aku bukan mata, aku bukan bahagian daripada tubuh.” Bagaimanakah tubuh boleh mendengar, jika seandainya seluruh tubuh itu mata sahaja? Bagaimanakah tubuh boleh menghidu, jika seandainya seluruh tubuh itu telinga sahaja? Tetapi seperti yang kita ketahui, Allah meletakkan tiap-tiap anggota tubuh yang berlainan itu di tempat yang dikehendaki-Nya. Tidak mungkin ada tubuh, jika semuanya hanya satu anggota. Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh. Dengan demikian mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukan kamu!” Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukan kamu!” Sebaliknya kita amat memerlukan anggota-anggota tubuh yang dianggap lemah. Anggota tubuh yang kita anggap tidak begitu dihargai, kita berikan lebih banyak penghargaan. Anggota tubuh yang tidak selayaknya dipercakapkan, kita perlakukan dengan penuh kesopanan. Anggota-anggota tubuh yang sudah kelihatan cantik tidak memerlukan perhatian. Allah sudah mengatur tubuh kita sedemikian rupa sehingga anggota tubuh yang kita anggap kurang dihargai mendapat lebih banyak penghargaan. Dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan. Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga. Jika satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita.

1 KORINTUS 12:14-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna tuboh itu bukannya satu anggota sahja, mŭlainkan banyak. Maka jikalau kiranya kaki itu bŭrkata, Bahwa sŭbab aku ini bukannya tangan, bukannyalah aku deripada tuboh: maka deri sŭbab itukah iya bukannya deripada tuboh? Dan jikalau kiranya tŭlinga bŭrkata, Sŭbab aku ini bukannya mata, bukannyalah aku deripada tuboh: maka deri sŭbab itukah iya bukannya deripada tuboh? Maka jikalau kiranya sŭgŭnap tuboh itu mŭnjadi mata, mana pula pŭnŭngar? Dan jikalau sŭgŭnap tuboh itu pŭnŭngar, mana pula pŭnchium? Tŭtapi skarang Allah tŭlah mŭlŭtakkan sagala anggota itu masing masing dalam tuboh spŭrti yang dikahandakinya. Maka jikalau kiranya sŭmua itu mŭnjadi suatu anggota, mana pula tuboh? Adapun skarang ini adalah anggota itu banyak, tŭtapi tuboh itu suatu juga adanya. Maka mata itu tiada bulih bŭrkata kapada tangan, Bahwa tiada aku bŭrhajat akan dikau; atau kata kŭpala kapada kaki, Bahwa tiada aku bŭrhajat akan dikau. Bahkan, maka tŭrlebih pulah anggota anggota tuboh yang dikirakan tŭrlebih lŭmah adanya, maka iya itulah ada bŭrguna juga. Maka anggota anggota tuboh yang kita kirakan kurang mulia, maka pada dia itu juga kita mŭngadakan banyak kamuliaan; dan anggota kita yang korang mulia itu, maka iya itulah yang bŭrulih kamuliaan. Kŭrna sagala anggota kami yang mulia itu ta’usahlah dimuliakan; tŭtapi Allah tŭlah mŭmatutkan tuboh itu, sŭrta mŭmbri lebih mulia kapada anggota yang korang itu. Supaya jangan kŭlak bŭrchidra dalam tuboh itu, tŭtapi sagala anggota itu patut dipliharakan bŭrsama sama spŭrti yang lain. Maka jikalau suatu anggota itu mŭrasai sakit, maka sagala anggota pun mŭrasai sakit juga; dan jikalau suatu anggota dipŭrmuliakan, maka sagala anggota pun gŭmarlah juga adanya.

1 KORINTUS 12:14-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota. Kalaulah kaki berkata, “Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh? Dan kalaulah telinga berkata, “Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh? Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan? Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya. Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh? Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh. Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukanmu,” kepala tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukanmu.” Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan. Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan. Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya, supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain. Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami