1 TAWARIKH 29:14-20

1 TAWARIKH 29:14-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku dan rakyatku sesungguhnya tidak dapat memberikan apa-apa kepada-Mu, kerana segalanya adalah pemberian-Mu dan apa yang kami berikan ini kepunyaan-Mu juga. Engkau tahu, ya TUHAN, bahawa seperti nenek moyang kami, kami pun hidup sebagai pendatang dan orang asing. Hidup kami seperti bayangan yang berlalu, dan kami tidak dapat lepas daripada kematian. Ya TUHAN, Allah kami, semua barang berharga ini kami kumpulkan di sini untuk membina sebuah rumah bagi-Mu supaya kami dapat menghormati nama-Mu yang suci. Tetapi semua ini kami terima daripada-Mu sendiri dan kepunyaan-Mu juga. Aku tahu bahawa Engkau menguji hati setiap orang dan Engkau berkenan kepada orang yang murni hatinya. Dengan tulus ikhlas dan rela hati, aku mempersembahkan semua ini kepada-Mu. Aku telah menyaksikan umat-Mu yang berkumpul di sini membawa persembahan mereka kepada-Mu dengan senang hati. Ya TUHAN Allah, yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub, nenek moyang kami, kiranya Engkau menjaga umat-Mu supaya tetap mengasihi Engkau seperti sekarang ini, dan tolonglah supaya mereka setia kepada-Mu untuk selama-lamanya. Kurniailah anakku, Salomo, keinginan yang sungguh-sungguh untuk mentaati semua perintah-Mu dan untuk membina rumah ibadat yang persiapannya telah kusediakan.” Selepas berdoa demikian, Raja Daud bertitah kepada orang ramai yang berkumpul di situ, “Pujilah TUHAN Allah kamu!” Kemudian semua orang itu memuji-muji TUHAN, Allah yang disembah nenek moyang mereka. Selepas itu mereka bersujud untuk menghormati TUHAN dan raja.

1 TAWARIKH 29:14-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sebab siapakah aku dan siapakah bangsaku, sehingga kami dimampukan untuk memberikan persembahan sukarela seperti ini? Kerana segala sesuatu berasal daripada Engkau, dan daripada tangan-Mu sendirilah persembahan yang kami berikan kepada-Mu. Kami ialah pendatang dan perantau di hadapan-Mu, sama seperti semua nenek moyang kami. Hari-hari kami di bumi seperti bayang-bayang dan tidak ada harapan. Ya TUHAN, Allah kami, semua kelimpahan bahan yang kami sediakan untuk membangunkan sebuah bait bagi nama-Mu yang suci itu berasal daripada tangan-Mu juga dan segala sesuatu ialah milik-Mu. Aku tahu, ya Allahku, bahawa Engkaulah yang menguji hati dan berkenan kepada ketulusan. Maka aku mempersembahkan semua itu dengan ikhlas dan dengan setulus hati. Sekarang, dengan gembira telah kulihat umat-Mu yang hadir di sini memberikan pula persembahan sukarela kepada-Mu. Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, nenek moyang kami, teguhkanlah hal ini untuk selama-lamanya dalam maksud hati serta fikiran umat-Mu, dan arahkanlah hati mereka kepada-Mu. Kurniakanlah kepada anakku Salomo hati yang tulus supaya dia berpegang teguh pada segala perintah-Mu, peraturan-Mu, serta ketetapan-Mu, dan supaya dia melaksanakan semua itu serta membina bait yang persediaannya telah kulakukan.” Kemudian Daud berkata kepada seluruh jemaah itu, “Pujilah TUHAN, Allahmu!” Maka seluruh jemaah memuji TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Mereka tunduk lalu sujud menyembah TUHAN dan memberi hormat kepada raja.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami