1 TAWARIKH 17:16-24

1 TAWARIKH 17:16-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Raja Daud masuk ke dalam Khemah TUHAN. Raja Daud duduk lalu berdoa, “Ya TUHAN Allah, aku dan keluargaku tidak layak menerima segala kebaikan yang Engkau tunjukkan kepadaku selama ini. Namun sekarang Engkau melakukan lebih daripada semua itu; Engkau telah membuat janji tentang keturunanku pada masa hadapan. Bahkan Engkau, ya TUHAN Allah, telah memperlakukan aku sebagai seorang pembesar. Apa lagi yang dapat kukatakan kepada-Mu! Engkau mengetahui segala sesuatu tentang diri hamba-Mu ini, namun Engkau memberikan penghormatan kepadaku. Oleh sebab kehendak-Mu dan rancangan-Mu, Engkau melakukan semua perbuatan besar ini bagiku, dan untuk menunjukkan kebesaranku pada masa akan datang, kepadaku. Ya TUHAN, tidak ada yang sama dengan Engkau; sejak dahulu, kami telah mengetahui bahawa Engkau satu-satunya Allah. Di seluruh bumi tidak ada bangsa seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, untuk menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib yang Engkau lakukan bagi mereka, menjadikan nama-Mu termasyhur di seluruh dunia. Engkau membebaskan umat-Mu dari Mesir, dan mengusir bangsa-bangsa lain ketika umat-Mu maju bertempur. Engkau telah menjadikan Israel, umat-Mu sendiri selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, menjadi Allah mereka. Sekarang, ya TUHAN, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang telah Engkau janjikan itu. Engkau akan termasyhur selama-lamanya, dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel.’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku memerintah sebagai raja sepanjang masa.

1 TAWARIKH 17:16-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian masuklah Raja Daud lantas bersimpuh di hadapan ALLAH dan berkata, “Ya TUHAN Allah, siapakah aku ini dan siapakah keluargaku sehingga Engkau membawa aku sampai sejauh ini? Bahkan ternyata pula perkara ini perkara biasa di mata-Mu, ya Allah, kerana Engkau telah berfirman pula mengenai keluarga hamba-Mu ini untuk masa yang masih jauh di hadapan. Engkau memandang aku seperti orang yang berkedudukan tinggi, ya TUHAN Allah. Entah apa lagi yang dapat disampaikan oleh Daud kepada-Mu atas kemuliaan yang dikurniakan kepada hamba-Mu ini? Engkau mengenal hamba-Mu ini. Ya TUHAN, demi hamba-Mu ini dan atas kehendak-Mu sendirilah Engkau telah memberitahukan serta melakukan segala hal yang besar ini. Ya TUHAN, tidak ada yang seperti Engkau dan tidak ada Allah selain Engkau, menurut segala sesuatu yang kami dengar dengan telinga kami. Bangsa manakah di bumi ini seperti umat-Mu Israel, satu-satunya bangsa yang ditebus oleh Allah untuk menjadi umat-Nya? Engkau menegakkan nama bagi-Mu dengan melakukan hal-hal yang besar dan takjub di negeri-Mu dengan menghalau bangsa-bangsa dari hadapan umat-Mu yang Engkau tebus dari Mesir. Engkau telah membuat umat-Mu Israel menjadi umat-Mu untuk selama-lamanya, dan Engkau, ya TUHAN, menjadi Allah mereka. Sekarang, ya TUHAN, biarlah firman yang Kausampaikan mengenai hamba-Mu ini serta keluarganya diteguhkan untuk selama-lamanya. Lakukanlah seperti yang Kaufirmankan. Semoga nama-Mu diteguhkan dan diagungkan untuk selama-lamanya dengan disebutkan: ‘TUHAN alam semesta, Allah Israel, Dialah Allah bagi orang Israel.’ Keluarga hamba-Mu Daud akan kukuh di hadapan-Mu.