1 TAWARIKH 13:1-14 - Compare All Versions

1 TAWARIKH 13:1-14 BM (Alkitab Berita Baik)

Raja Daud berunding dengan semua pegawainya yang mengetuai pasukan seribu orang dan pasukan seratus orang. Selepas itu baginda mengumumkan hal ini kepada semua orang itu, “Jika kamu setuju, dan jika kehendak TUHAN, Allah kita, baiklah kita mengirim utusan-utusan kepada para imam serta orang Lewi di kota-kota mereka, dan kepada segenap bangsa kita. Para utusan itu akan menyuruh mereka datang berkumpul bersama-sama kita di sini. Kemudian kita akan pergi mengambil Tabut Perjanjian Allah, yang telah diabaikan selama pemerintahan Raja Saul.” Semua orang Israel yang berkumpul suka dengan cadangan itu, lalu mereka menyetujuinya. Oleh itu Raja Daud mengumpulkan rakyat Israel dari seluruh negeri, dari sempadan negeri Mesir di selatan sampai ke Genting Hamat di utara, untuk mengambil Tabut Perjanjian dari Kiryat-Yearim dan memindahkannya ke Yerusalem. Kemudian Raja Daud dan segenap rakyat Israel pergi ke kota Baala, iaitu Kiryat-Yearim, di kawasan Yehuda untuk mengambil Tabut Perjanjian Allah. Tabut itu dinamakan “TUHAN yang bertakhta di atas kerub”. Apabila mereka tiba di Baala, mereka mengambil Tabut Perjanjian itu dari rumah Abinadab, lalu menaikkannya ke atas sebuah pedati yang baru. Uza dan Ahyo mengiringi pedati itu, sedangkan Raja Daud dan segenap umat Israel menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati Allah. Mereka menyanyi sambil memainkan alat-alat muzik - kecapi, gambus, tamburin, simbal, dan trompet. Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Kidon, lembu-lembu yang menarik pedati itu tersandung. Lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian itu supaya tidak jatuh. Ketika itu juga TUHAN murka terhadap Uza dan membunuh dia, kerana dia memegang Tabut. Uza meninggal di situ, di hadapan Allah. Sejak itu, tempat itu dinamakan Peres-Uza. Raja Daud murka kerana TUHAN telah membinasakan Uza. Kemudian Raja Daud takut juga kepada Allah dan bertitah, “Sekarang bagaimanakah beta dapat membawa Tabut Perjanjian itu?” Oleh itu Raja Daud tidak membawa Tabut itu ke Yerusalem. Baginda menyimpan Tabut itu di rumah Obed-Edom, seorang yang berasal dari kota Gat. Tabut itu berada di situ selama tiga bulan, dan TUHAN memberkati keluarga Obed-Edom serta segala miliknya.

1 TAWARIKH 13:1-14 AVB (Alkitab Versi Borneo)

Daud berunding dengan semua pemimpin, iaitu dengan para pemimpin pasukan seribu dan pasukan seratus. Setelah itu, Daud berkata kepada seluruh jemaah Israel, “Jika baik menurutmu dan jika hal ini berasal daripada TUHAN, Allah kita, mari kita kirim utusan untuk menyiarkan khabar kepada saudara-saudara kita yang lain di seluruh Tanah Israel, juga kepada para imam dan bani Lewi yang tinggal dengan mereka di kota-kota yang dikelilingi padang ragut, supaya mereka berkumpul bersama kita. Mari kita bawa kembali tabut Allah kita ke tempat kita, kerana pada zaman Saul kita tidak mempedulikan hal itu.” Seluruh jemaah itu bersetuju untuk berbuat demikian, kerana hal itu dipandang baik oleh seluruh bangsa. Maka Daud mengumpulkan semua orang Israel, mulai Sikhor di Mesir sampai ke jalan masuk Hamat, untuk membawa tabut Allah dari Kiryat-Yearim. Lalu Daud dan semua orang Israel berangkat ke Baala, iaitu Kiryat-Yearim, yang termasuk wilayah Yehuda, untuk mengangkut tabut Allah dari sana; tabut itu disebut dengan nama TUHAN yang bersemayam di atas malaikat-malaikat kerubin. Kemudian dari rumah Abinadab mereka menaikkan tabut Allah itu ke atas pedati yang baru. Uza dan Ahio menghantar pedati itu. Lalu di hadapan Allah, Daud dan semua orang Israel menari-nari dengan sekuat tenaga diiringi nyanyian, kecapi, gambus, rebana, ceracap, serta nafiri. Ketika mereka sampai di tempat pembantingan Kidon, Uza menghulurkan tangannya untuk memegang tabut itu, kerana lembu-lembu penarik pedati itu tersandung. Maka menyalalah murka TUHAN terhadap Uza, dan Allah mengazabkan Uza kerana dia telah menghulurkan tangannya memegang tabut itu. Maka matilah Uza di sana, di hadapan Allah. Daud berasa kesal kerana TUHAN telah menyambar Uza. Itulah sebabnya tempat itu disebut Peres-Uza sampai hari ini. Pada hari itu Daud menjadi takut kepada Allah, katanya, “Bagaimanakah tabut Allah itu dapat kubawa ke tempatku?” Oleh sebab itu Daud tidak jadi memindahkan tabut itu ke tempatnya, iaitu ke Kota Daud, melainkan menyinggahkannya di rumah Obed-Edom, orang Gat. Maka tabut Allah itu tinggal di rumah keluarga Obed-Edom selama tiga bulan dan TUHAN pun memberkati keluarga Obed-Edom dan segala miliknya.