MATIUS 27:27-50

MATIUS 27:27-50 BM

Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!” Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”. Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.” Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!” Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?” Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus. Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!” Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami