LUKAS 1:26-38

LUKAS 1:26-38 BM

Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea. Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, “Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!” Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. Malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.” Maria berkata kepada malaikat itu, “Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” Malaikat itu menjawab, “Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.” Maria berkata, “Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.” Lalu malaikat itu meninggalkan Maria.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami