KIDUNG AGUNG 1

1
1 Kidung Agung oleh Raja Salomo.
Nyanyian Pertama
Wanita
2Ciumlah aku dengan bibirmu;
cintamu lebih nikmat daripada wain.
3Engkau harum semerbak,
namamu seperti minyak wangi yang dicurahkan.
Oleh itu, gadis-gadis cinta kepadamu.
4Cepatlah,
bawalah aku bersama-samamu,
ya rajaku, bawalah aku ke bilikmu.
Wanita-Wanita
Kami akan bersukaria kerana engkau,
dan memuji cintamu lebih daripada wain;
patutlah gadis-gadis cinta kepadamu.
Wanita
5Hai puteri-puteri Yerusalem,
sungguhpun aku hitam tetapi aku manis;
walaupun aku hitam seperti khemah Kedar,
tetapi aku cantik seperti tirai di istana Salomo.
6Jangan hina aku kerana kulitku hitam;
aku hitam kerana kena sinaran matahari.
Saudara-saudaraku marah terhadap aku,
dan memaksa aku bekerja di ladang anggur;
aku tiada masa menjaga diriku sendiri.
7Katakanlah, hai kekasihku,
di manakah engkau akan menggembalakan ternakan,
di manakah domba berbaring pada tengah hari?
Mengapakah aku harus mencari engkau
antara kawanan domba kepunyaan gembala lain?
Lelaki
8Tidakkah engkau tahu akan tempatnya,
hai wanita yang paling jelita?
Ikutlah jejak kawanan ternak,
dan gembalakanlah anak-anak kambingmu
dekat khemah para gembala.
9Hai sayangku,
engkau laksana kuda betina
yang memberahikan
kuda jantan penarik kereta kuda
raja Mesir.
10Pipimu molek dengan perhiasan,
lehermu cantik dengan kalung permata.
11Kami akan membuat perhiasan emas bagimu,
perhiasan yang bertatahkan perak.
Wanita
12Ketika rajaku di perbaringannya,
semerbak harum narwastuku.
13Kekasihku seperti mur yang harum,
waktu dia berbaring di dadaku.
14Kekasihku bagaikan serumpun bunga inai
di ladang anggur di En-Gedi.
Lelaki
15Alangkah cantiknya engkau,
hai sayangku,
engkau sungguh cantik!
Matamu bagaikan mata merpati.
Wanita
16Betapa kacaknya engkau,
hai sayangku,
engkau sungguh menarik!
Rumput hijau menjadi perbaringan kita;
17pokok sedar menjadi tiang rumah kita, dan pokok sipres langit-langitnya.

Terpilih Sekarang Ini:

KIDUNG AGUNG 1: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami