ROMA 15:23-33

ROMA 15:23-33 BM

Tetapi sekarang kerjaku di daerah-daerah ini sudah selesai. Sudah bertahun-tahun lamanya aku ingin berjumpa dengan kamu. Dalam perjalananku ke negeri Sepanyol, aku akan singgah di kota kamu. Selepas beberapa lama bergembira dengan kamu, aku berharap kamu dapat menolong aku meneruskan perjalanan ke Sepanyol. Tetapi sekarang ini aku akan pergi ke Yerusalem untuk membawa bantuan bagi umat Allah di situ. Jemaah di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita membuat keputusan untuk memberikan derma kepada saudara-saudara yang miskin di kalangan umat Allah di Yerusalem. Mereka sendiri membuat keputusan itu. Memang sebenarnya mereka patut menolong saudara-saudara yang miskin itu, kerana orang bukan Yahudi sudah menerima berkat rohani daripada orang Yahudi. Dengan demikian orang bukan Yahudi patut menolong orang Yahudi dengan berkat kebendaan. Apabila aku menyelesaikan tugas itu, dan menyerahkan semua wang derma itu kepada mereka, aku akan berangkat ke negeri Sepanyol dan akan melawat kamu dalam perjalanan ke sana. Apabila aku datang kepada kamu, aku akan berkongsi berkat yang berlimpah-limpah daripada Kristus dengan kamu. Demi Tuhan kita Yesus Kristus, dan demi kasih yang dikurniakan oleh Roh Allah, aku menggesa kamu supaya berdoa dengan tekun kepada Allah bersama-sama aku untukku. Berdoalah supaya orang di Yudea yang tidak percaya kepada Yesus Kristus tidak mencederakan aku, dan supaya umat Allah di Yerusalem senang hati dengan apa yang aku lakukan untuk menolong mereka. Kemudian jika diperkenankan Allah, aku akan datang kepada kamu dengan penuh kegembiraan, dan lawatan itu akan menggembirakan dan menyegarkan aku. Semoga Allah, sumber kedamaian kita, menyertai kamu semua. Amin.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami