WAHYU 22:12-21

WAHYU 22:12-21 BM

“Dengarlah!” kata Yesus. “Aku akan segera datang! Aku akan membawa ganjaran untuk tiap-tiap orang menurut perbuatannya. Akulah yang pertama dan yang terakhir, yang awal dan yang penghujung; Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan.” Berbahagialah orang yang mencuci jubah mereka sehingga bersih. Mereka berhak makan buah pokok sumber kehidupan dan masuk ke dalam kota melalui pintu gerbang. Tetapi orang yang melakukan perbuatan cabul, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, orang yang lucah, pembunuh, orang yang menyembah berhala, dan orang yang berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan, tidak dibenarkan masuk ke dalam kota. “Aku, Yesus, telah mengutus malaikat-Ku supaya mengisytiharkan perkara-perkara ini kepada jemaah. Aku keturunan Daud; Aku bintang timur yang terang itu.” Roh Allah dan Pengantin Perempuan berkata, “Marilah!” Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, “Marilah!” Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang menginginkannya! Aku, Yohanes, dengan sungguh-sungguh memperingatkan setiap orang yang mendengar kata-kata nubuat kitab ini: Jika seseorang menambahkan apa sahaja pada nubuat ini, Allah juga akan menambahkan hukumannya dengan malapetaka yang digambarkan di dalam kitab ini. Jika seseorang mengurangkan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, Allah juga akan mengambil balik hak orang itu untuk makan buah pokok sumber kehidupan dan haknya untuk tinggal di kota suci itu, seperti yang digambarkan di dalam kitab ini. Dia yang memberikan semua kesaksian ini berkata, “Betul, Aku akan segera datang!” Amin! Datanglah, ya Tuhan Yesus! Semoga Tuhan Yesus memberkati setiap orang.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami