MAZMUR 99:1-9

MAZMUR 99:1-9 BM

TUHAN itu raja, orang gementar kerana Dia; Dia bertakhta di atas kerub, dan bumi pun bergoncang. TUHAN sangat berkuasa di Sion; Dia penguasa tertinggi atas semua bangsa. Setiap orang akan memuji nama-Nya yang agung dan mulia. Sucilah Dia! Hai Raja yang perkasa, Engkau mencintai hukum; Engkau telah menegakkan keadilan di Israel, Engkau telah melaksanakan hukum dan keadilan. Pujilah TUHAN, Allah kita; sujudlah di hadapan takhta-Nya! Sucilah Dia! Musa dan Harun termasuk imam-imam-Nya, dan Samuel salah seorang yang berdoa kepada Dia; mereka berseru kepada TUHAN dan Dia menjawab mereka. Dari tiang awan, Dia berfirman kepada mereka; mereka patuh kepada hukum dan perintah yang diberikan-Nya. Ya TUHAN, Allah kami, Engkau mengabulkan permintaan umat-Mu; Engkau menunjukkan bahawa Engkau Allah yang suka mengampuni orang, walaupun Engkau menghukum mereka kerana dosa mereka. Pujilah TUHAN, Allah kita dan sembahlah Dia di atas bukit-Nya yang suci! TUHAN, Allah kita suci.