MAZMUR 92

92
Lagu Pujian
1Mazmur. Lagu untuk hari Sabat.
2Alangkah baiknya bersyukur kepada-Mu, ya TUHAN,
menyanyi untuk memuji Allah Yang Maha Tinggi,
3mengisytiharkan kasih-Mu pada setiap pagi,
dan kesetiaan-Mu pada setiap malam,
4dengan iringan alat muzik yang bertali,
dan dengan iringan kecapi.
5Perbuatan-Mu, ya TUHAN, menggembirakan aku;
aku menyanyi dan bergirang kerana karya-Mu.
6Ya TUHAN, sungguh besar perbuatan-Mu!
Sungguh dalam fikiran-Mu!
7Orang bodoh tidak dapat mengertinya,
orang dungu tidak dapat memahaminya;
8orang jahat mungkin tumbuh subur seperti rumput,
dan orang yang melakukan kejahatan mungkin makmur;
namun mereka akan dibinasakan sama sekali,
9kerana Engkau, ya TUHAN, penguasa tertinggi selama-lamanya.
10Kami tahu bahawa musuh-Mu akan dimusnahkan,
dan semua orang jahat akan dikalahkan.
11Engkau telah menjadikan aku sekuat lembu jantan yang liar;
Engkau telah memberkati aku dengan kebahagiaan.
12Aku telah melihat kekalahan musuhku,
dan mendengar teriakan orang jahat yang menyerang aku.
13Orang jujur akan menjadi makmur seperti pokok palma;
mereka akan menjadi kuat seperti pokok sedar di Lebanon.
14Mereka umpama pokok yang ditanam di Rumah TUHAN,
seperti pokok yang tumbuh dengan subur di Rumah Allah kita,
15dan tetap menghasilkan buah pada masa tua,
dan sentiasa menghijau serta kuat.
16Hal ini menunjukkan bahawa TUHAN adil,
dan tidak terdapat kecurangan pada pembelaku.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 92: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami