MAZMUR 18:21-50
MAZMUR 18:21-50 BM
TUHAN mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar; Dia memberkati aku kerana aku tidak bersalah. Aku mematuhi Taurat TUHAN; aku tidak meninggalkan Allahku. Aku telah mentaati segala hukum-Nya; aku tidak pernah mengingkari perintah-Nya. Dia tahu bahawa aku tidak bercela, dan aku menjauhkan diri daripada kesalahan. Oleh itu Dia mengganjar aku kerana aku melakukan yang benar, kerana Dia tahu bahawa aku tidak bersalah. Ya TUHAN, Engkau setia kepada orang yang setia kepada-Mu, dan Engkau sangat baik kepada orang yang baik. Engkau menyatakan diri-Mu suci kepada orang yang suci, tetapi Engkau memusuhi orang yang jahat. Engkau menyelamatkan orang yang rendah hati, tetapi Engkau merendahkan orang yang sombong. Engkau memberikan cahaya kepadaku; TUHAN Allahku menerangi kegelapanku. Engkau memberi aku kekuatan untuk menyerang musuhku, dan kuasa untuk menembusi pertahanan mereka. Betapa sempurnanya perbuatan Allah ini, firman TUHAN dapat dipercayai. Dia umpama perisai bagi semua orang yang berlindung kepada-Nya. TUHAN satu-satunya Allah; hanya Allah pembela kita. Dialah Allah yang menguatkan aku, dan menjadikan jalanku aman. Dia menguatkan kakiku seperti kaki rusa; Dia menjaga keselamatanku di pergunungan. Dia melatih aku untuk berperang, supaya aku dapat melengkungkan busur yang terkuat. Ya TUHAN, Engkau melindungi dan menyelamatkan aku; pertolongan-Mu telah menjadikan aku agung dan kuasa-Mu memelihara keselamatanku. Engkau menjaga aku supaya aku tidak ditawan, dan aku tidak pernah jatuh. Aku mengejar musuhku dan menangkap mereka; aku tidak berhenti sehingga aku mengalahkan mereka. Aku memukul mereka sehingga mereka tidak dapat bangun; mereka rebah kerana kalah di hadapanku. Engkau memberi aku tenaga untuk bertempur, dan kemenangan atas musuhku. Engkau menyebabkan musuhku lari daripadaku; aku membinasakan orang yang membenci aku. Mereka berteriak minta tolong, tetapi tiada sesiapa pun menyelamatkan mereka; mereka berseru kepada TUHAN, tetapi Dia tidak menjawab. Aku menghancurkan mereka sehingga mereka menjadi seperti debu yang ditiup angin; aku memijak-mijak mereka seperti lumpur di jalan. Engkau menyelamatkan aku daripada umat yang memberontak, dan menjadikan aku pemerintah bangsa-bangsa; bangsa yang tidak aku kenal menjadi rakyatku. Bangsa asing meromok ketakutan di hadapanku, dan taat apabila mendengar perintahku. Mereka hilang keberanian; mereka gementar dan keluar dari kubu pertahanan. TUHAN hidup! Pujilah pembelaku! Isytiharkanlah keagungan Allah penyelamatku! Dia memberi aku kemenangan atas musuhku; Dia menaklukkan bangsa-bangsa di hadapanku dan menyelamatkan aku daripada lawanku. Ya TUHAN, Engkau memberi aku kemenangan atas musuhku dan melindungi aku daripada orang ganas. Oleh itu aku memuji Engkau di kalangan bangsa-bangsa; aku menyanyikan pujian untuk-Mu.