MAZMUR 119:49-72
MAZMUR 119:49-72 BM
Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku. Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup. Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu. Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN. Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu. Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu. Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu. Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu. Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu. Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu. Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu. Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu. Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil. Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu. Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu. Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu. Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu. Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu. Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia.