MAZMUR 119:129-144

MAZMUR 119:129-144 BM

Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati. Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil. Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya. Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu. Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku. Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu. Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu. Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu. Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil. Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar. Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu. Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya. Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu. Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar. Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku. Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup.