MAZMUR 119:105-128

MAZMUR 119:105-128 BM

Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku. Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil. Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu. Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu. Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku. Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu. Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku. Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku! Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu. Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka. Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu. Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu. Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku! Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku! Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu. Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu. Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu. Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni. Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah.