MAZMUR 102:1-18

MAZMUR 102:1-18 BM

Doa seorang yang sengsara dan letih lesu, yang mengeluh kepada TUHAN. Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah seruanku minta pertolongan. Janganlah berpaling daripadaku ketika aku dalam kesusahan. Dengarlah apabila aku berseru, dan jawablah permintaanku dengan segera. Hidupku menghilang seperti asap; badanku seolah-olah terbakar. Aku layu seperti rumput kering, dan seleraku hilang. Aku mengerang dengan kuat; badanku kurus kering. Aku bagaikan burung liar di padang pasir, bagaikan burung hantu di tempat runtuhan. Aku tidak dapat tidur; aku bagaikan burung yang kesepian di bumbung rumah. Sepanjang hari musuh mencela aku; mereka yang mempermainkan aku menggunakan namaku untuk mengutuk. Abu menjadi makananku, dan minumanku bercampur air mata kerana kemurkaan-Mu yang menyala-nyala. Engkau telah mengangkat dan membuang aku. Hidupku berlalu seperti bayang-bayang pada waktu petang; aku layu seperti rumput kering. Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya; semua keturunan akan mengingati Engkau. Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion; masanya sudah tiba untuk mengasihaninya; inilah masanya yang tepat. Walaupun Sion telah musnah, hamba-hamba-Mu mengasihinya; walaupun Sion telah runtuh, mereka mengasihaninya. Bangsa-bangsa akan takut kepada TUHAN; semua raja di bumi akan takut terhadap kuasa-Nya. Apabila TUHAN membina Sion semula, Dia akan menyatakan keagungan-Nya. Dia akan mendengar doa umat-Nya yang papa, dan tidak menolak permohonan mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami