MAZMUR 10:1-10
MAZMUR 10:1-10 BM
Mengapakah Engkau begitu jauh, ya TUHAN, dan bersembunyi pada masa kami dalam kesusahan? Dengan sombong orang jahat menindas orang miskin; biarlah mereka dijerat oleh perangkap mereka sendiri. Orang jahat membangga-banggakan niat jahat mereka; orang tamak mengutuki dan menolak TUHAN. Orang jahat tidak mempedulikan TUHAN; kerana mereka sombong, mereka berfikir Allah tidak ada. Orang jahat berjaya dalam segala perbuatan mereka. Mereka tidak dapat memahami pengadilan Allah; mereka mentertawakan musuh-musuh mereka. Mereka berkata dalam hati, “Kami tidak akan gagal; kami tidak akan ditimpa kesusahan.” Percakapan mereka penuh dengan sumpahan, dusta, dan ancaman; mereka cepat menista dan menjahati orang. Mereka bersembunyi di kampung-kampung, dan menunggu untuk membunuh orang yang tidak bersalah. Mereka mengintip mangsa yang tidak berdaya; mereka menunggu di tempat persembunyian seperti singa. Mereka menantikan orang yang tidak berupaya, lalu menangkap dan menyeret mereka dari situ. Mangsa yang tidak berdaya remuk tergelimpang, ditewaskan oleh keganasan.