BILANGAN 10:11-36

BILANGAN 10:11-36 BM

Pada hari kedua puluh bulan kedua, pada tahun kedua selepas umat Israel meninggalkan Mesir, awan yang berada di atas Khemah TUHAN itu naik. Lalu umat Israel berurutan berangkat meninggalkan Gurun Sinai. Kemudian awan itu berhenti di padang gurun Paran. Itulah kali pertama mereka berangkat menurut perintah TUHAN melalui Musa. Tiap-tiap kali mereka berangkat, mereka mengikut susunan yang sama. Orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Yehuda berangkat dahulu, kelompok demi kelompok. Nahason anak Aminadab memimpin mereka. Netaneel anak Zuar memimpin suku Isakhar dan Eliab anak Helon memimpin suku Zebulon. Kemudian barulah Khemah TUHAN itu digulung; lalu puak Gerson dan Merari yang membawa Khemah itu berangkat. Selepas itu orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Ruben berangkat, kelompok demi kelompok. Elizur anak Syedeur memimpin mereka. Selumiel anak Zurisyadai memimpin suku Simeon dan Elyasaf anak Rehuel memimpin suku Gad. Lalu puak Kehat yang memikul benda-benda suci berangkat. Apabila mereka sampai di tempat perkhemahan yang baru, Khemah TUHAN sudah dipasang. Kemudian orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Efraim berangkat, kelompok demi kelompok. Elisama anak Amihud memimpin mereka. Gamaliel anak Pedazur memimpin suku Manasye dan Abidan anak Gideoni memimpin suku Benyamin. Akhirnya, orang yang di bawah panji kumpulan yang dipimpin oleh suku Dan berangkat, kelompok demi kelompok. Ahiezer anak Amisyadai memimpin mereka. Mereka menjadi pengawal barisan belakang bagi semua kumpulan itu. Pagiel anak Okhran memimpin suku Asyer dan Ahira anak Enan memimpin suku Naftali. Itulah susunan perbarisan orang Israel apabila mereka berangkat, kelompok demi kelompok. Musa berkata kepada iparnya, Hobab anak Yitro, orang Midian itu, “Kami akan berangkat ke tempat yang dimaksudkan TUHAN ketika Dia berfirman untuk memberikannya kepada kami. Dia sudah menjanjikan hal yang baik kepada Israel. Oleh itu ikutlah kami dan kami akan berbuat baik kepadamu.” Hobab menjawab, “Tidak, aku mahu balik ke tanah airku.” Musa berkata, “Janganlah tinggalkan kami. Engkau boleh menjadi penunjuk jalan bagi kami kerana engkau tahu tempat kita dapat berkhemah di padang gurun. Jika engkau ikut, maka segala yang baik yang dilakukan TUHAN bagi kami akan kami lakukan juga bagimu.” Apabila umat Israel meninggalkan Sinai, gunung suci itu, mereka berjalan selama tiga hari. Tabut Perjanjian TUHAN sentiasa dibawa mendahului mereka untuk mencari tempat berkhemah bagi mereka. Tiap-tiap kali mereka berangkat dari tempat perkhemahan, awan TUHAN sentiasa ada di atas mereka pada siang hari. Setiap kali Tabut Perjanjian TUHAN itu dipikul ketika berangkat, Musa berkata, “Bangkitlah, ya TUHAN, cerai-beraikanlah musuh-Mu dan biarlah orang yang membenci Engkau melarikan diri!” Setiap kali umat Israel berhenti dan menurunkan Tabut Perjanjian, Musa berkata, “Kembalilah, ya TUHAN, kepada ribuan keluarga Israel.”