MARKUS 15:21-39

MARKUS 15:21-39 BM

Di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon. Dia baru datang dari kampung dan sedang memasuki bandar. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus.) Mereka membawa Yesus ke tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak.” Di situ mereka cuba memberikan wain yang bercampur mur kepada Yesus, tetapi Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian mereka menyalibkan Dia, lalu membahagi-bahagikan pakaian-Nya di kalangan mereka dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. Mereka menyalibkan Dia pada pukul sembilan pagi. Pada salib itu dipasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Raja Orang Yahudi.” Mereka juga menyalibkan dua orang penjahat bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. [ Dengan demikian apa yang tertulis di dalam Alkitab dipenuhi, “Dia dianggap sebagai penjahat.”] Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, “Cis! Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah dirimu!” Para ketua imam dan guru Taurat juga memperolokkan Yesus. Mereka bercakap sesama sendiri, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Jika dia raja Israel, Penyelamat yang diutus oleh Allah, biarlah dia turun dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepadanya!” Kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eloi, Eloi, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan itu lalu berkata, “Dengarlah, Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu lalu dihulurkannya ke mulut Yesus sambil berkata, “Tunggu! Mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menurunkan dia dari salib.” Lalu Yesus berteriak dan menghembuskan nafas yang terakhir. Tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Ketua askar yang berdiri di hadapan salib itu, melihat bagaimana Yesus meninggal. Oleh itu dia berkata, “Memang benar orang ini Anak Allah!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MARKUS 15:21-39

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami