MARKUS 11:1-11

MARKUS 11:1-11 BM

Ketika mendekati Yerusalem, mereka sampai ke kota Betfage dan Betania, di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ kamu akan nampak seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke sini. Jika ada orang bertanya kepada kamu ‘Mengapa kamu melepaskan keldai ini?’ katakanlah, ‘Guru memerlukannya dan segera akan mengembalikannya.’ ” Pengikut-pengikut itu pergi dan mendapati seekor anak keldai yang terikat pada pintu sebuah rumah di pinggir jalan, lalu mereka melepaskannya. Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu lakukan? Mengapa kamu melepaskan keldai ini?” Mereka menjawab seperti yang diarahkan oleh Yesus, lalu orang di situ pun membiarkan mereka pergi. Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus, lalu mengalas punggung keldai itu dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat dahan-dahan di ladang lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang mula berseru-seru, “Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan. Diberkatilah pemerintahan-Nya yang akan datang - pemerintahan Daud nenek moyang kita! Pujilah Allah!” Yesus masuk ke Yerusalem, lalu pergi ke Rumah Tuhan sambil memandang di sekeliling-Nya. Tetapi kerana hari sudah petang, Dia pergi bersama-sama dua belas orang pengikut-Nya ke Betania.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami