MATIUS 9:27-38

MATIUS 9:27-38 BM

Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, dua orang buta mula mengikut Dia. Mereka berseru, “Hai Anak Daud, kasihanilah kami.” Apabila Yesus masuk ke dalam rumah, kedua-dua orang buta itu menghampiri Dia. Yesus bertanya kepada mereka, “Percayakah kamu bahawa Aku boleh menyembuhkan kamu?” “Ya, Tuan!” jawab mereka. Lalu Yesus menjamah mata mereka sambil berkata, “Kerana kamu percaya, berlakulah apa yang kamu harapkan!” Lalu mereka dapat melihat. Yesus berpesan kepada mereka dengan tegas, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun.” Tetapi mereka pergi dan menyebarkan berita tentang Yesus ke seluruh daerah itu. Apabila kedua-dua orang itu pergi, beberapa orang membawa seorang bisu kepada Yesus. Orang itu bisu kerana dirasuk roh jahat. Sebaik sahaja roh jahat itu diusir oleh Yesus, orang itu mula bercakap. Semua orang hairan melihat hal itu. Mereka berkata, “Belum pernah kami saksikan peristiwa serupa ini di Israel!” Tetapi orang Farisi berkata, “Ketua roh jahatlah yang memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.” Demikianlah Yesus pergi dari satu bandar ke bandar lain dan dari satu pekan ke pekan lain. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan orang daripada berbagai-bagai penyakit. Apabila Dia melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit. Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 9:27-38

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami