MATIUS 19:17-30

MATIUS 19:17-30 BM

Yesus menjawab, “Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal.” “Hukum yang mana?” tanya orang itu. Yesus menjawab, “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” “Semua hukum ini sudah saya taati,” jawab orang muda itu. “Adakah lagi yang harus saya lakukan?” Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.” Apabila orang muda itu mendengar hal ini, dia meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya. Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ketahuilah, susah sekali bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah. Aku berkata kepada kamu: Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.” Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar kata-kata-Nya, mereka sangat hairan. Mereka berkata, “Jika demikian siapakah yang boleh diselamatkan?” Yesus memandang mereka lalu berkata, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi Allah dapat melakukan segala perkara!” Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Apakah yang akan kami terima daripada Allah?” Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah bahawa pada masa Anak Manusia duduk di atas takhta-Nya yang mulia di Dunia Baru Allah, kamu dua belas orang pengikut-Ku juga akan duduk di atas takhta dan memerintah dua belas suku Israel! Setiap orang yang sudah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, atau saudara perempuan, atau ibu bapa, atau anak-anak, atau ladang kerana Aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang sudah ditinggalkan, serta menerima hidup sejati dan kekal. Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 19:17-30

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami