MATIUS 17:9-13

MATIUS 17:9-13 BM

Semasa mereka turun dari gunung itu, Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu lihat, selagi Anak Manusia belum dibangkitkan daripada kematian.” Pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus, “Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?” Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi Aku berkata kepada kamu, Elia sudah datang namun orang tidak mengenal dia; mereka memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Dengan cara yang sama mereka akan memperlakukan Anak Manusia.” Barulah pengikut Yesus mengerti bahawa Yesus berkata-kata tentang Yohanes Pembaptis.