MATIUS 15:1-20

MATIUS 15:1-20 BM

Kemudian beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Yerusalem datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikutmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Sebelum makan, mereka tidak membasuh tangan menurut adat!” Yesus menjawab, “Mengapa kamu tidak menurut perintah Allah, tetapi menurut ajaran kamu sendiri? Allah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu,’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.’ Tetapi kamu mengajarkan: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya persembahkan kepada Allah,’ maka orang itu tidak perlu menghormati bapanya. Demikianlah kamu meniadakan firman Allah untuk menurut ajaran kamu sendiri. Kamu munafik! Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya tatkala dia bernubuat tentang kamu! Allah berfirman, ‘Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku. Sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Allah!’ ” Kemudian Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, “Dengarlah dan fahamilah! Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang tidak dapat menajiskan dia. Tetapi apa yang keluar dari mulut, itulah yang menajiskan dia.” Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Guru, tahukah Guru bahawa orang Farisi tersinggung oleh kata-kata Guru?” Yesus menjawab, “Tiap-tiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. Jangan pedulikan orang Farisi. Mereka pemimpin buta, dan apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-dua mereka jatuh ke dalam longkang.” Petrus berkata, “Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu ini pengikut-Ku, tetapi kamu pun tidak faham seperti mereka. Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang, turun ke dalam perut lalu keluar lagi. Tetapi apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang. Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah. Hal-hal itulah yang menajiskan orang, dan bukan makan dengan tidak membasuh tangan menurut adat!”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 15:1-20

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami