LUKAS 6:46-49

LUKAS 6:46-49 BM

“Mengapa kamu memanggil Aku, ‘Tuhan, Tuhan,’ tetapi tidak menurut kata-kata-Ku? Beginilah keadaan setiap orang yang datang kepada-Ku dan mendengar kata-kata-Ku serta melakukannya. Dia seperti pembina rumah yang menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah pada batu. Air sungai melimpah dan melanda rumah itu, tetapi tidak dapat menggoncangkannya, kerana asas rumah itu dibina dengan teguh. Tetapi orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak melakukannya, seperti orang yang membina rumah tanpa asas. Ketika banjir melanda, rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan itu!”